Bung, Zizie diarah bela diri tuduhan rasuah

Bung, Zizie diarah bela diri tuduhan rasuah

Permohonan interlokutori pasangan itu sama seperti memfailkan rayuan, kata Mahkamah Rayuan.

Bung Moktar Radin dan Zizie Izette Abdul Samad didakwa menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 untuk mendapatkan kelulusan Felcra membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
PUTRAJAYA:
Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isterinya, Zizie Izette Abdul Samad diperintahkan membela diri terhadap tuduhan rasuah dan bersubahat membabitkan pelaburan RM150 juta Felcra.

Hakim Zaini Mazlan, yang membaca keputusan sebulat suara Mahkamah Rayuan, berkata permohonan semakan yang difailkan pasangan itu di Mahkamah Tinggi adalah sama dengan memfailkan rayuan.

“Ia adalah permohonan interlokutori di sebalik rayuan,” kata Zaini, sambil menambah bahawa permohonan sedemikian mengganggu proses perbicaraan.

“Kami membenarkan rayuan pihak pendakwaan. Keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan dan keputusan Mahkamah Sesyen dikembalikan,” katanya.

Turut bersidang mendengar rayuan itu ialah Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan Noorin Badaruddin.

Bung Moktar, pengerusi bukan eksekutif Felcra didakwa pada 3 Mei 2019 atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan agensi itu supaya melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Norhaili Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank Taman Melawati antara 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.

Bung Moktar turut didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding unit amanah Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie menghadapi tiga pertuduhan bersubahat dengan Bung dalam melakukan kesalahan yang didakwa.

Zaidi, yang mempengerusikan panel hakim, kemudian menetapkan pengurusan kes di Mahkamah Sesyen pada 5 Dis.

Pada 2 Sept 2022, hakim Mahkamah Sesyen memerintahkan pasangan itu membela diri kerana pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima terhadap mereka.

Bagaimanapun, pada 7 Sept tahun lepas, Mahkamah Tinggi membebaskan mereka susulan permohonan semakan dibuat di bawah Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).

Dalam keputusan hari ini, Zaini berkata hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil terpakai sama rata kepada pihak pendakwaan seperti juga kepada pihak pembelaan.

“Membenarkan permohonan semakan pada keputusan prima facie akan mengganggu perbicaraan dan mewujudkan pertimbangan yang tidak dapat ditanggung di mana mahkamah perbicaraan mesti menerima banyak penangguhan untuk membolehkan setiap pihak membuat rayuan.

“Ini akan menggagalkan perbicaraan, membuang masa dan perbelanjaan awam, dan mesti dihentikan,” tambahnya.

Zaini berkata penemuan Mahkamah Tinggi bahawa keputusan hakim Mahkamah Sesyen khilaf dalam memanggil responden membela diri adalah terlalu awal.

Beliau juga berkata hakim bicara ditugaskan untuk menganalisis keterangan saksi pendakwaan dan keterangan yang dikeluarkan berdasarkan penilaian maksimum sebelum memutuskan sama ada unsur pertuduhan telah dibuktikan dan kes prima facie dibuat.

“Ini atas dasar tertuduh akan disabitkan jika tiada bantahan,” katanya lagi.

Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How, Fadly Zambry dan Maziah Mohaide mewakili pendakwaan.

Peguam M Athimulan, Ashok Athimulan dan Ridha Abdah Subri mewakili Bung manakala K Kumaraendran, K Dev Kumar dan Teh See Khoon mewakili Zizie.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.