63 tuduhan salah laku seksual, calon SPM mengaku tak salah

63 tuduhan salah laku seksual, calon SPM mengaku tak salah

62 tuduhan dilakukan terhadap tujuh pelajar junior lelaki dengan minta mangsa tunjuk tubuh antaranya di tandas surau dan sekolah.

gavel
Tertuduh berusia 17 tahun turut didakwa dengan satu pertuduhan memiliki video pornografi kanak-kanak dalam komputer riba. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah di Sri Gading mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat atas 63 pertuduhan amang seksual bukan fizikal termasuk memiliki video pornografi kanak-kanak.

Tertuduh berusia 17 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-62, dia didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap tujuh pelajar junior lelaki dengan meminta mangsa menunjukkan tubuh kepada tertuduh.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi antaranya tandas surau dan sekolah serta rumah mangsa di daerah ini, Kluang dan Tangkak, lapor Berita Harian.

Semua kejadian didakwa berlaku antara 10 pagi hingga 11 malam, bermula Disember 2023 hingga hujung bulan lalu, membabitkan mangsa lelaki berusia antara 13 hingga 17 tahun.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (a) (ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSKK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Bagi pertuduhan ke-63, dia didakwa memiliki video pornografi kanak-kanak dalam komputer riba pada 2.30 pagi, 11 Nov.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10 AKKSTKK dan boleh dipenjara lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Razak Shariff.

Mahkamah menetapkan 11 Dis untuk sebutan semula dan serahan dokumen.

Tertuduh dibenar diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan tidak boleh mengganggu saksi atau mangsa sehingga kes selesai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.