
Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail berkata pihaknya sentiasa bertegas dengan mereka yang terlibat dalam aktiviti mencuri hasil galian kerana akan menyebabkan ketirisan hasil sekali gus menjejaskan pembangunan ekonomi dan rakyat Pahang.
Sehubungan itu, kerajaan negeri mengalu-alukan tindakan SPRM menahan tiga individu yang terlibat dengan kegiatan haram tersebut termasuk seorang pegawai agensi kerajaan negeri kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi aktiviti itu, semalam.
“Kini dengan adanya (siasatan) SPRM, lagi baiklah untuk kita meminimumkan atau menghapuskan langsung ketirisan hasil kerajaan negeri. Apabila berlakunya kecurangan sebegini, kerajaan negeri akan kehilangan hasil dan yang rugi rakyat juga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media berhubung penahanan tersebut selepas menyempurnakan majlis Anggun Suri.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dilapor berkata dua lagi yang ditahan dalam serbuan di sekitar Bukit Goh itu adalah pemilik syarikat yang dipercayai terbabit dalam kegiatan yang dilindungi pegawai berkenaan sejak 2022.
Azam berkata wang rasuah diberikan kepada pegawai agensi kerajaan negeri itu adalah sebagai balasan melindungi dan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti tersebut.
SPRM kini masih dalam peringkat siasatan bagi mengenal pasti jumlah suapan terlibat.
Majistret Wahidah Zainal Abidin membenarkan ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 50-an itu direman hingga 19 Nov selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan, semalam.