
Menurutnya beliau akan membentangkan hasil analisis kepada pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan (KKM) sejurus menerima maklumat lengkap itu.
“Saya yakin mereka (Jabatan Kimia dan Sirim) akan beri dapatan dalam masa terdekat.
“Jangan bimbang, apabila sudah ada dapatan analisis itu, saya akan membuat hebahan menerusi kenyataan akhbar atau sebagainya,” katanya menurut Berita Harian selepas satu majlis di Kuching, Sarawak.
Pada 23 Okt lalu, Kesatuan Jururawat Malaya dilaporkan mengakui menerima maklum balas kain dibekalkan untuk pakaian seragam jururawat sedikit keras dan tidak selesa dipakai bertugas, tetapi Presidennya Saaidah Athman tidak mengulas lanjut, termasuk dakwaan kain itu menyamai kain kafan.
Media sebelum ini melaporkan KKM menyiasat aduan jururawat mengenai kualiti kain kurang baik yang dibekalkan sebuah syarikat untuk pakaian seragam jururawat melalui perolehan lebih RM98.3 juta.
KKM dilaporkan berkata, sampel kain yang dikatakan tidak mematuhi spesifikasi itu sudah dihantar kepada Jabatan Kimia untuk dianalisis dan syarikat terbabit boleh dikenakan tindakan selaras kontrak sedang berkuat kuasa, jika ia tidak mematuhi spesifikasi.
Dzulkefly memberi jaminan setiap isu berkaitan jururawat akan ditangani sebaiknya dan yakin keputusan muktamad serta tuntas akan diperoleh.
“…saya tidak mahu buat persepsi atau ‘jump the gun’. Sebagai menteri, saya harus bertanggungjawab. Kena bersabarlah walaupun saya juga mahu perkara ini diselesaikan segera.”