
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Fazilah Shaik Allaudin, berkata JKNPP melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Pulau Pinang dengan kerjasama polis menjalankan operasi khas ke atas dua premis di Jelutong.
“Hasil maklumat awan dan risikan dijalankan, pihak kami mengambil tindakan ke atas penjualan produk tradisional tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi secara dalam talian dengan menyerbu dua premis itu.
“Hasil pemeriksaan di situ, kami merampas sebanyak 70,000 kotak produk tradisional tidak berdaftar dan lebih 70 kotak kosmetik tidak bernotifikasi dengan jumlah keseluruhan dianggarkan bernilai RM10.1 juta,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menyatakan operasi itu membuktikan Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa mengambil serius terhadap aduan awam bagi membanteras penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi termasuk penjualan secara dalam talian yang telah menjadi trend masa kini.
Fazilah berkata, pengguna dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan iklan atau testimoni di laman sesawang, platform media sosial serta aplikasi e-dagang dengan tuntutan perubatan tidak munasabah.
Katanya, penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi adalah melanggar Peraturan 7(1)(a) dan 18A(1)(a) Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang boleh dihukum bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.
“Orang ramai boleh menyemak status pendaftaran ubat atau notifikasi kosmetik dengan melayari laman sesawang https://www.npra.gov.my di ruangan “Product Status” atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78835400 atau memuat turun aplikasi NPRA Product Status secara percuma melalui Play Store, App Store dan Huawei App Gallery,” katanya.
Beliau berkata, KKM sentiasa komited dalam memerangi isu pembekalan dan penjualan ubat-ubatan yang menyalahi undang-undang.
Fazilah berkata, kempen ‘Tolak Ubat Tidak Sah’ dengan nama singkatan rasminya TOBaTS merupakan satu inisiatif baharu Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM yang diperkenalkan tahun ini dalam usaha memerangi isu pembekalan dan penjualan ubat-ubatan yang menyalahi undang-undang di Malaysia.
“Orang ramai juga digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan mana-mana ubat atau kosmetik yang meragukan melalui laman sesawang https://www.pharmacy.gov.my atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat https://moh.spab.gov.my atau melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk yang menyalahi undang-undang di pasaran,” katanya.