
Hakim Leong Wai Hong berkata J&E Advance Tech Sdn Bhd gagal membuktikan tiga unsur fitnah dalam samannya terhadap Azmin yang juga bekas menteri besar Selangor.
Leong berkata syarikat itu mesti membuktikan bahawa kenyataan defendan merujuk kepadanya, bahawa ada penerbitan kandungan berunsur fitnah dan kenyataan disangkal terbabit adalah fitnah.
Bagaimanapun, Leong berkata Deepak Jaikishan, yang dirujuk Azmin beberapa kali dalam ucapannya, bukanlah pengarah mahupun pemegang saham syarikat itu.
“Saman itu ditolak dengan kos RM50,000,” katanya dalam keputusannya.
Tahun lepas, J&E menyaman Azmin berhubung kenyataannya yang mendakwa syarikat itu telah memperoleh kontrak melalui rundingan terus dengan kerajaan untuk mengimport telur dari India sebagai langkah sementara menampung kekurangan bekalan.
Syarikat itu meminta injunksi untuk menghalang Azmin daripada mengulangi dakwaan itu selain menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan serta kos.
Azmin menafikan memfitnah syarikat itu dan mendakwa ucapannya adalah komen adil berhubung perkara kepentingan awam.
Beliau berkata bahawa beliau tidak menamakan syarikat itu, sama ada secara langsung atau tidak, dan hanya mengkritik dasar kerajaan semasa ceramah pada Mac 2023.
Azmin ialah Adun Bukit Antarabangsa, ketua pembangkang DUN Selangor dan ketua penerangan Perikatan Nasional ketika itu.
Peguam Nizamuddin Abdul Hamid mewakili Azmin manakala J&E diwakili Bhavanash Sharma.