Sindiket seleweng minyak masak peket lebih RM400,000 tumpas

Sindiket seleweng minyak masak peket lebih RM400,000 tumpas

Sindiket itu menggunakan modus operandi mencampur minyak masak peket dengan minyak masak terpakai sebelum dijual pada harga lebih tinggi.

rampasan penyelewengan minyak masak
KPDN menyita 14,340kg minyak masak peket pelbagai jenama yang dipotong dan disimpan di dalam tangki Selasa lalu. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan sindiket penyelewengan minyak masak peket dianggarkan bernilai RM429,850.

Menteri Armizan Mohd Ali berkata, sindiket itu menggunakan modus operandi mencampur minyak masak peket dengan minyak masak terpakai sebelum dijual pada harga lebih tinggi.

“Sindiket itu ditumpaskan menerusi serbuan Op Tiris 3.0 dijalankan secara berasingan di sebuah rumah di Taman Kajang Jaya, Kajang dan premis perniagaan di bandar Rinching, Semenyih, Selasa lalu.

“Hasil serbuan ke atas kedua-dua premis itu, kita berjaya menyita sebanyak 14,340kg minyak masak peket pelbagai jenama yang dipotong dan disimpan di dalam tangki,” katanya pada sidang media.

Armizan berkata, premis itu disyaki berselindung di sebalik perniagaan membeli dan menjual minyak masak terpakai dengan menjadikannya sebagai lokasi pengumpulan tanpa lesen sah.

Beliau berkata, minyak masak yang dicampur itu kemudian dijual sebagai minyak masak terpakai pada harga sekitar RM3.80 sekilogram kepada pihak industri dipercayai untuk kegunaan sebagai biodiesel.

“Harga minyak masak bersubsidi adalah RM2.50 sepeket dan termurah. Bila sudah dicampur dengan minyak masak terpakai, sindiket berkenaan boleh jual sehingga RM3.80 sekilogram.

“Kita anggarkan sindiket ini beroperasi sejak enam bulan lalu,” katanya.

Menurutnya, seramai 15 individu terdiri 11 bukan warganegara dan empat warga tempatan direman mulai semalam hingga 16 Nov bagi membantu siasatan bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

“Jika didapati bersalah bagi orang perseorangan boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Manakala, syarikat terlibat boleh didenda tidak melebihi RM2 juta,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.