
Tetapi, naib presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu menyuarakan kesediaan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan isu berkenaan.
“Saya tidak fikir ada elemen rasuah dalam perjumpaan itu. Tidak mungkin saya perlu disiasat, tapi kalau SPRM panggil, saya akan beri kerjasama penuh,” katanya menurut Sinar Harian.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda Gagasan Rakyat Kemabong, Rexy Yankat, menafikan sekeras-kerasnya video membabitkan Rubin ada kaitan unsur rasuah.
“Video tersebut sebenarnya menunjukkan perbincangan perniagaan yang belum dimuktamadkan. Seseorang menggunakan tipu daya dengan membawa individu dari ‘kartel mineral’ yang dikatakan sebagai ‘pelabur’ untuk membincangkan peluang perniagaan.
“Nasib baik, wakil rakyat tersebut segera menyedari pertemuan itu hanyalah pembaziran masa dan berpotensi membawa agenda tidak baik.”
Rexy berterima kasih kepada Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor atas kebijaksanaannya menamatkan kontrak itu yang dipercayai lebih cenderung mengaut keuntungan daripada hasil bumi Sabah, bukannya menyumbang kepada kestabilan ekonomi negeri.
Terdahulu, satu lagi video dimuat naik sebuah portal berita memaparkan pendedahan pemberi maklumat berhubung perbualan seorang Adun Sabah dan ahli perniagaan didakwa cuba mendapatkan kuota atau lesen dengan menawarkan RM3 juta.
Sebelum ini, pemberi maklumat dilapor memberikan lapan video kepada Malaysiakini menunjukkan perbincangan seorang ahli perniagaan dengan beberapa Adun Sabah mengenai rasuah untuk lesen projek.
Peguam kepada pemberi maklumat itu berkata, anak guamnya sedia memberikan bukti kepada SPRM, jika agensi antirasuah itu boleh memberi jaminan dia tidak akan disiasat. Tetapi, Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata pemberi maklumat perlu memfailkan aduan rasmi terlebih dahulu.
Kelmarin, FMT melaporkan satu laporan dibuat kepada SPRM terhadap bekas pegawai kanan sebuah syarikat perlombongan negeri di Sabah didakwa menyalahgunakan kuasanya dengan bekerja dengan broker untuk membantu syarikat cari gali mineral mendapatkan lesen cari gali melalui rasuah.
Hajiji dilaporkan berkata, beliau tiada apa-apa untuk disembunyikan dan meminta SPRM menyiasat kes itu.