Pemandu rempuh, cuba langgar penunggang motosikal ditahan

Pemandu rempuh, cuba langgar penunggang motosikal ditahan

Polis berkata kejadian berlaku selepas mangsa cuba menahan kereta suspek yang terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan individu lain.

kereta langgar motor
Tangkap layar video tular menunjukkan kereta dipandu suspek melanggar melanggar motosikal dan cuba merempuh salah seorang mangsa.
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang pemandu kereta kerana disyaki melanggar dua individu yang menaiki sebuah motosikal di Kuala Kurau, Perak yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Kerian, Juna Yusoff berkata suspek ditangkap selepas salah seorang mangsa membuat laporan polis mengenai kejadian itu pada Selasa lalu.

Katanya, dalam laporan itu mangsa bersama rakannya cuba menahan kenderaan dinaiki suspek kerana terlibat dengan kemalangan jalan raya dengan individu lain dan melarikan diri.

“Susulan daripada itu, polis berjaya menangkap suspek lelaki dan turut merampas sebuah kereta yang digunakan dalam kejadian tersebut untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini tular satu video yang menunjukkan sebuah kereta jenis Toyota Vios merempuh belakang motosikal yang dinaiki dua lelaki hingga menyebabkan kedua-dua mangsa terjatuh.

Kenderaan itu kemudiannya dilihat mengundur sebelum melanggar motosikal itu sekali lagi.

Pemandu kereta itu juga cuba melanggar salah seorang mangsa sebelum bertindak melarikan diri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.