2 juta pekerja disasar sertai kesatuan

2 juta pekerja disasar sertai kesatuan

Peningkatan daripada lebih sejuta ahli itu dijangka susulan penguatkuasaan pindaan Akta Kesatuan Sekerja bulan lepas, menurut Steven Sim.

office
Setakat September lepas, terdapat sebanyak 759 kesatuan sekerja di negara ini, dengan ahli seramai 1,030,151 orang, menurut Menteri Sumber Manusia Steven Sim.
PETALING JAYA:
Sehingga dua juta pekerja disasarkan menganggotai kesatuan sekerja di seluruh negara susulan penguatkuasaan pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959 pada 15 Sept lepas.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata, setakat September lepas, terdapat sebanyak 759 kesatuan sekerja di negara ini, dengan ahli seramai 1,030,151 orang.

“Sekarang kita ada satu juta ahli kesatuan sekerja, kalau boleh kita tambah sehingga dua juta ahli,” katanya, lapor Bernama.

“Ini kerana saya melihat kesatuan ini sebagai satu wadah perjuangan pekerja, dan (dengan) adanya kesatuan, kita kuat.”

Ketika berucap merasmikan Perhimpunan Kesatuan Sekerja Peringkat Kebangsaan 2024 di Putrajaya hari ini, Sim berkata, penguatkuasaan pindaan Akta Kesatuan Sekerja itu juga membolehkan kekangan dalam penubuhan kesatuan sekerja dikurangkan

“Kita nak berikan hak kepada pekerja untuk terlibat lebih aktif dalam kesatuan demi memberi kuasa yang lebih besar kepada kaum pekerja di Malaysia,” katanya.

Mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig, Sim berkata, beliau sedang berusaha membentangkan RUU itu pada sesi sidang Dewan Rakyat kali ini.

“Kita tengah berusaha untuk membawa RUU (Pekerja Gig) yang baharu, (untuk) membela nasib rakan-rakan kita yang sudah lama terkapai-kapai di luar Akta Kerja.

“Mereka tidak dilindungi bawah akta itu, tetapi mereka juga pekerja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.