Polis belum terima laporan perubatan mangsa kes buli UPNM

Polis belum terima laporan perubatan mangsa kes buli UPNM

Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata kertas siasatan kes itu sedang dilengkapkan pegawai penyiasat sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

buli-abuse
Mangsa berusia 19 tahun sebelum ini dilaporkan retak tulang rusuk dan tulang belakang selepas dicederakan seorang penuntut senior tahun 3 UPNM. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Polis belum menerima laporan perubatan melibatkan kes seorang kadet tahun 1 Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang cedera parah di rusuk dan belakang badan akibat dipijak pelajar senior akademi berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa, berkata kertas siasatan kes berkenaan juga sedang dilengkapkan oleh pegawai penyiasat sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara bagi tindakan lanjut.

“Kertas siasatan sedang dilengkapkan dan laporan perubatan masih belum diperoleh, setakat hari ini seramai 13 individu telah dirakam keterangan termasuk suspek berusia 22 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Pada 10 Nov lepas Rusdi dalam kenyataan memaklumkan mangsa berusia 19 tahun yang juga penuntut tahun 1, mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang selepas dicederakan seorang penuntut senior tahun 3, dan kini sedang mendapatkan rawatan di hospital.

Kejadian dilaporkan berlaku pada 10.45 malam, 21 Okt dan polis menerima laporan berkaitan insiden itu pada 8.40 malam, 8 Nov.

Isnin lepas suspek kes berkenaan hadir ke IPD Cheras untuk memberikan keterangan dan dibenarkan pulang selepas urusan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.