‘Peguam negara baharu orang diakah’, Azalina diminta beri penjelasan

‘Peguam negara baharu orang diakah’, Azalina diminta beri penjelasan

Mohd Dusuki Mokhtar dilantik sebagai peguam negara yang baharu menggantikan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh Isnin lalu.

Mas Ermieyati Samsudin minta penjelasan Azalina Othman Said mengenai pelantikan peguam negara yang baharu.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen pembangkang menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said menjelaskan adakah pelantikan peguam negara baharu ada kaitan ucapannya dalam program Umno pada 2022 supaya perdana menteri memilih ‘orang dia’.

Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) meminta penjelasan itu dengan mendakwa rakyat mempersoalkan pelantikan Mohd Dusuki Mokhtar sebagai tanda ‘membalas budi’.

Katanya, ia selepas Dusuki memberikan hujah mengapa Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi perlu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) ketika memegang jawatan ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Pelantikan peguam negara ini menjadi cakap-cakap di luar sana. Adakah disebabkan oleh ‘budi’ yang diberikan oleh beliau…beliau dilantik sebagai peguam negara sebagaimana yang disoal oleh rakyat di luar sana?

“Kita masih ingat, Yang Berhormat Pengerang (Azalina) pernah sebut perdana menteri perlu melantik ‘orang kita’ sebagai peguam negara. Inilah hasilnya…’orang dia’ dilantik,” katanya ketika perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.

Isnin lalu Dusuki dilantik peguam negara yang baharu menggantikan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.

Dalam perbicaraan kes rasuah Zahid sebelum ini, Dusuki memberikan 11 alasan DNAA itu apabila pihak pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding, kerana mereka berhasrat menyiasat kes tersebut dengan lebih mendalam.

Azalina semasa berucap dalam taklimat khas presiden Umno pada 27 Ogos 2022 menegur perdana menteri ketika itu Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan peguam negara.

“Sesiapa yang jadi perdana menteri akan melantik ‘orang dia’ untuk jadi peguam negara,” katanya.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata persepsi negatif bahawa cabang perundangan negara dikawal pihak tertentu perlu dibersihkan.

“Kita perlu bersihkan ini supaya tidak ada lagi persepsi negatif terhadap cabang perundangan negara, ini harus kita beri perhatian,” katanya.

Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) bangkit mencelah dan meminta Mas Ermieyati tidak membuat sangkaan jahat dengan memetik ucapan berdasarkan ‘cakap-cakap’.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau, kemudian menjelaskan apa dibangkitkan Mas Ermieyati berbentuk pertanyaan dan mengingatkan semua pihak tidak memetik ucapan berdasarkan ‘cakap-cakap’ ketika berbahas.

“Kita tunggu menteri jawab, kalau Paya Besar kata itu sangkaan jahat boleh buat usul,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.