Kekalkan identiti bahasa, seimbang guna kata baharu dan pinjaman, kata pakar

Kekalkan identiti bahasa, seimbang guna kata baharu dan pinjaman, kata pakar

Teo Kok Seong berkata penggantian istilah bahasa Melayu Malaysia dengan varian negara lain secara berlebihan berpotensi mengikis identiti bahasa tempatan.

Teo Kok Seong mencadangkan perkataan klasik atau kurang digunakan dimasukkan secara bertahap dalam kamus dalam talian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pakar bahasa bimbang peminjaman istilah luar walaupun dapat memperkaya kosa kata boleh menjejaskan keaslian dan keunikan bahasa Melayu digunakan di Malaysia.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN) Teo Kok Seong berkata 12 perkataan dimasukkan dalam kamus dalam talian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bukanlah istilah baharu, tetapi telah lama wujud dalam bahasa Melayu, namun lebih lazim di Indonesia.

Menurutnya, dalam usaha memperkenalkan ‘perkataan baharu’, perlu ada keseimbangan kerana penggantian istilah bahasa Melayu Malaysia dengan varian Indonesia berpotensi mengikis identiti bahasa tempatan jika dilakukan secara berlebihan.

“Sebagai contoh, istilah seperti ‘prakasa’ mungkin biasa di Indonesia, tetapi di Malaysia, masyarakat lebih terbiasa dengan kata ‘usaha’ atau ‘inisiatif.

“Ada nilai dalam memperkayakan bahasa dengan sinonim, namun kita harus memastikan tidak pinggir perkataan sudah sebati dalam budaya dan komunikasi seharian rakyat,” katanya kepada FMT.

Semalam, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengumumkan 12 perkataan baharu, termasuk ‘maha kaya’, ‘peluncuran’ dan ‘ketimbang’ yang seringkali digunakan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, akan diserap dalam kamus dalam talian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Fadhlina berkata perkataan ‘ketimbang, sinonim ‘daripada’ yang digunakan untuk menandai perbandingan, sudah wujud dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia.

Perkataan ‘peluncuran’ pula kata Fadhlina mempunyai maksud yang sama dengan ‘pelancaran’, iaitu hal atau perbuatan memperkenalkan produk atau program yang semakin banyak digunakan pengguna bahasa Melayu sebagai variasi dalam konteks bersesuaian.

Bagaimanapun, kata Teo, perkataan seperti ‘peluncuran’ juga membawa maksud lain, iaitu menggambarkan pergerakan yang cepat seperti ‘melungsur’ atau ‘mengge­longsor’.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan perkataan klasik atau kurang digunakan dimasukkan secara bertahap, dan pada masa sama, perkataan-perkataan sudah sebati dalam masyarakat di Malaysia dikekalkan.

“Ini dapat mewujudkan keseimbangan antara memperkenalkan perkataan baharu dan memelihara keaslian budaya bahasa tempatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.