Daim arkitek ekonomi tiada galang ganti

Daim arkitek ekonomi tiada galang ganti

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata negara bukan saja kehilangan seorang pemimpin besar malah arkitek ekonomi ketika Malaysia menjadi Harimau Asia.

daim zainuddin
Daim Zainuddin meninggalkan impak yang mendalam dalam membangunkan ekonomi negara dan mengukuhkan kestabilan kewangan Malaysia suatu ketika dahulu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemergian bekas menteri kewangan Daim Zainuddin pagi ini ketika menerima rawatan di Hospital Assunta memberi kesan mendalam kepada semua pemimpin politik tanah air.

Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, berkata negara hilang sebutir mutiara yang tidak ternilai harganya dan tiada galang ganti.

Katanya, negara bukan saja kehilangan seorang pemimpin besar malah arkitek ekonomi ketika Malaysia menjadi Harimau Asia.

“Menggunung jasanya kepada agama, bangsa dan negara terutama ketika negara berdepan krisis kewangan 1998, sehingga akhirnya membolehkan Malaysia keluar daripada krisis berkenaan.

“Beliau pejuang tulen bahkan sehingga ke akhir hayatnya – meskipun uzur, tetap berjuang menentang kezaliman dan dendam kesumat politik.

“Dan, saya secara peribadi hilang seorang guru, seorang mentor, seorang bapa serta seorang sahabat yang mendidik saya dalam dunia korporat dan politik,” katanya di Facebook.

Turut merakamkan takziah, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail yang menyifatkan pemergian tokoh negara itu sebagai pemimpin yang banyak berjasa kepada negara.

“Semoga rohnya bersama mereka yang beriman dan menganugerahkan pahala untuk segala sumbangan beliau kepada negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Fadhli Shaari berkata sumbangan Daim meninggalkan impak yang mendalam dalam membangunkan ekonomi negara dan mengukuhkan kestabilan kewangan Malaysia suatu ketika dahulu.

“Tun Daim dikenali atas komitmen dan kebijaksanaannya dalam menjalankan tugas sebagai menteri kewangan suatu ketika dahulu,” katanya.

Pengerusi DAP Lim Guan Eng yang juga bekas menteri kewangan turut merakamkan takziah.

“Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang beriman,” katanya.

Terdahulu, keluarga Daim mengesahkan Allahyarham meninggal dunia pada 8.21 pagi di Hospital Assunta, Petaling Jaya.

“Butiran solat jenazah dan lain-lain akan dimaklumkan kemudian,” menurut kenyataan ringkas itu.

Daim berkhidmat sebagai menteri kewangan sebanyak dua kali. Pertama pada 1984 hingga 1991 bawah pentadbiran bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang mana beliau memainkan peranan penting dalam menguruskan ekonomi dan melaksanakan pelarasan struktur.

Beliau kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi bawah Dr Mahathir, untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia.

Awal tahun ini, Daim dan isteri Naimah Khalid didakwa di mahkamah atas tuduhan gagal mematuhi terma notis perisytiharan harta dikeluarkan bawah Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Beliau dituduh tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.