
Ini kerana, katanya, data daripada Pangkalan Data Utama (Padu) mendapati kira-kira 40% keluarga sasar, iaitu B60 tidak mempunyai pendaftaran pemilikan kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Jadi, di sini kita mempunyai masalah…walaupun terdapat cadangan mengatakan penggunaan pendaftaran kenderaan lebih baik, hakikatnya bagi keluarga-keluarga terbawah, mereka tidak ada pendaftaran kerana kemungkinan menggunakan motosikal atas nama pendaftaran orang lain.
“Kita juga telah melalui perkara ini semasa pelaksanaan diesel…jadi, berdasarkan data awal ada ketidakpadanan besar akibat amalan berlainan di bawah kerana sama ada mereka sambung bayar (kenderaan) atau menggunakan nama individu lain,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai pandangan kerajaan menggunakan penyasaran subsidi petrol RON95 melalui kaedah levi petrol semasa memperbaharui cukai jalan untuk memastikan kelancaran di stesen minyak berbanding mekanisme kad pengenalan bagi pengesahan kelayakan.
Rafizi berkata, kerajaan sedia maklum tiada kaedah sempurna untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 kerana setiap cadangan pasti timbul beberapa risiko dari segi operasi, kos dan penipuan.
“Namun, yang menjadi keutamaan kerajaan ialah pengawalan harga barang dan mengekang peningkatan inflasi…dan mengikut pertimbangan, walaupun pelaksanaan dipilih kerajaan melalui kaedah harga dua peringkat di stesen minyak (juga) mempunyai risiko, ia dilihat sebagai sesuatu yang boleh dibaiki dari semasa ke semasa.
“Berbanding menggunakan kaedah lain yang hanya akan menyebabkan kenaikan inflasi mendadak dan sukar diperbaiki, seperti menurunkan harga barang yang seterusnya membebankan rakyat pada masa akan datang.