
Dakwaan itu berkisar hubungan rapat dengan seorang broker dari Semenanjung, sejak bekas pegawai itu bertugas di Jabatan Mineral dan Geosains, kata sumber.
Difahamkan, broker berkenaan bertindak sebagai orang tengah di beberapa negeri bagi membantu syarikat penerokaan mineral mendapatkan lesen teroka melalui rasuah.
Menurut sumber, pakatan sulit antara pegawai dan broker mendapat perhatian Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, yang memutuskan tidak memperbaharui kontrak pegawai tersebut, menjadikannya “sangat kecewa”.
“Penamatan kontrak juga membolehkan dilakukan siasatan yang mendapati pelanggaran tatakelola yang baik dan salah guna kuasa,” kata sumber.
“Bagi melindungi diri mereka, bekas pegawai kanan dan broker berkenaan menggunakan taktik ugutan seperti rakaman video yang telah dirancang sejak awal.
“Mereka bekerjasama dengan parti politik tertentu untuk meneruskan agenda mereka, dan mereka juga cuba melindungi diri untuk mendapatkan perlindungan di bawah undang-undang pemberi maklumat dengan bertindak sebagai pemberi maklumat dengan tujuan melindungi jenayah mereka.”
Sumber itu berkata, Hajiji enggan tunduk dengan cubaan peras ugut berkenaan, yang dilaporkan sudah bermula beberapa bulan lalu.
Awal hari ini, Malaysiakini melaporkan pemberi maklumat mendedahkan video memaparkan bekas pegawai kanan tersebut menuduh Hajiji salah guna kuasa.
Dalam video terbabit, bekas pegawai kanan mendakwa keputusan dibuat berkait firma perlombongan milik kerajaan negeri, yang mana dipengerusikan Hajiji, “sangat dipengaruhi politik”.
Sebelum ini, dilaporkan pemberi maklumat memberikan kepada Malaysiakini lapan video menunjukkan perbincangan antara seorang ahli perniagaan dan beberapa Adun berkait rasuah bagi lesen projek.
Pegawai kanan SPRM telah bertemu dengan peguam pemberi maklumat, yang memainkan klip audio 17 saat melibatkan beberapa individu bercakap tentang wang kepada pegawai itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dipetik sebagai berkata, peguam tersebut membayangkan anak guamnya bersedia memberikan keterangan, namun ingin persetujuan bahawa anak guamnya tidak disiasat.
Namun, Azam berkata SPRM tidak boleh memberikan jaminan imuniti bertulis tanpa maklumat terperinci berkenaan perlakuan salah tersebut.
Katanya, pemberi maklumat itu diminta memfailkan aduan rasmi sekali gus membolehkannya dilindungi mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Hari ini, dalam laporan Harian Metro, Hajiji berkata tiada apa hendak disembunyikan susulan dakwaan beberapa Adun negeri itu membincangkan rasuah melibatkan lesen projek.
Hajiji meminta SPRM menyiasat kes dan berkata kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan membantu siasatan agensi itu.