
Baginda mahu masjid kekal tempat yang aman dan selamat bagi semua tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik.
Ketika bertitah pada Mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) di Kuantan, Al-Sultan Abdullah memberikan peringatan tegas kepada semua pemegang tauliah mengajar di negeri itu tidak menjadikan masjid sebagai pentas politik.
“Pada hari ini juga saya ingin memberikan peringatan tegas kepada semua pemegang tauliah mengajar di Pahang agar tidak menjadikan masjid sebagai pentas politik, masjid seharusnya menjadi tempat penyatuan dan perpaduan umat Islam, bukan ruang untuk menyebarkan kebencian atau fitnah,” titahnya menurut Kosmo.
“Dalam hal ini, alim ulama, asatizah, dan penceramah harus menjadi contoh yang baik menunjukkan teladan dalam memelihara keharmonian dan ketenteraman masyarakat.”
Baginda bertitah, tauliah diberikan juga boleh ditarik balik jika disalahgunakan bagi menjaga kesucian tujuan asal pentauliahan tersebut.
Dalam pada itu, berkait isu ajaran sesat di negeri tersebut baginda bertitah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Jabatan Mufti serta pihak berkuasa terbabit perlu mengambil langkah proaktif yang mana pencegahan dan penguatkuasaan perlu diperkasakan untuk melindungi masyarakat daripada ajaran menyesatkan.
Titah baginda, selain itu perlu diperbanyakkan program kesedaran secara menyeluruh melibatkan semua lapisan masyarakat agar setiap individu daripada kanak-kanak sehingga golongan profesional lebih peka terhadap bahana pegangan agama menyimpang.
“Isu ini (ajaran sesat) bukan hanya mencemari kesucian agama Islam malah berpotensi memecahbelahkan perpaduan umat, penyimpangan akidah adalah ancaman serius yang tidak boleh dipandang remeh ibarat ‘api dalam sekam’ ia boleh marak tanpa disedari.
“Sesungguhnya Nabi Muhammad telah diutuskan bagi membawa ajaran Islam yang sebenar, namun dalam dunia akhir zaman ini, fitnah dan kekeliruan bermaharajalela menyebabkan umat mudah terjerumus dalam ajaran-ajaran yang menyeleweng,” titahnya.
Sementara itu, Al-Sultan Abdullah bertitah usaha memperkasakan Mahkamah Syariah di Pahang perlu dilakukan dan sudah tiba masa Mahkamah Syariah di negeri ini diperluaskan kepada empat peringkat.
Baginda bertitah, selepas Mahkamah Rayuan Syariah, perlu diwujudkan satu peringkat tambahan dinamakan Mahkamah Utama Syariah yang akan berfungsi mendengar rayuan dan semakan kes dari Mahkamah Rayuan Syariah.