Fasiliti kesihatan swasta wajib papar harga ubat tahun depan, kata menteri

Fasiliti kesihatan swasta wajib papar harga ubat tahun depan, kata menteri

Menteri kesihatan berkata inisiatif itu dilaksanakan supaya harga ubat tidak dinaikkan sewenang-wenang.

Kementerian Kesihatan akan mewajibkan fasiliti kesihatan swasta memaparkan harga ubat bermula tahun depan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Fasiliti kesihatan swasta wajib memaparkan harga ubat bermula tahun depan, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

Katanya, inisiatif itu dilaksana bagi meningkatkan ketelusan dan harga ubat tidak dinaikkan sewenang-wenang.

“Inisiatif ini akan dilaksanakan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).

“Dengan cara ini, caj ubat-ubatan dalam tuntutan insurans boleh disemak supaya harga ubat tidak melebihi harga yang dipaparkan dan caj ubat-ubatan tidak sewenang-wenangnya dinaikkan,” katanya ketika penggulungan perbahasan Belanjawan 2025 peringkat Kementeriaan Kesihatan di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) dan Dr Richard Rapu (GPS-Betong) mengenai mekanisme kawalan harga perubatan di hospital swasta.

Sementara itu, Dzulkefly berkata ketika ini KKM hanya mengawal fi profesional yang dikawal selia.

Beliau berkata, ia melalui Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586), Jadual Ketiga Belas, Perintah Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta Lain) (Pindaan 2013) yang berkuat kuasa sejak 2006.

“Manakala fi hospital terdiri caj perkhidmatan kejururawatan, caj peralatan perubatan, caj alat pakai buang (jarum, picagari, kain kasa dan lain-lain), caj ujian makmal dan caj ubat-ubatan, tidak dikawal selia oleh KKM,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.