
Menurut pengerusi kumpulan IsDB Muhammad Al Jasser, Azmi dilantik berdasarkan pemahaman mendalamnya tentang potensi kewangan Islam, dan pengetahuan tentang harapan dan cabaran pembangunan negara anggotanya.
“Azmi teriktiraf sebagai satu-satunya rakyat Malaysia dalam panel lima (tokoh) daripada pelbagai latar belakang, yang diharapkan bertindak atas kapasiti individu mereka,” kata Universiti INCEIF dalam kenyataan.
Panel penasihat luar itu memainkan peranan dalam memberikan pandangan dan panduan kepada pengerusi IsDB mengenai visi strategik kumpulan dan strategi korporat serta memastikan output berkualiti tinggi dan mantap.
Panel itu juga dianggotai Carlos Lopes daripada University of Cape Town’s Nelson Mandela School of Public Governments serta rakan kongsi kanan dan CEO SouthBridge Investment Rwanda Frannie Leautier.
Universiti itu memetik Azmi sebagai berkata, beliau berharap dapat memanfaatkan pengalaman Malaysia dalam kewangan Islam untuk menyumbang kepada visi strategik IsDB.
“Sebagai peneraju global dalam kewangan Islam, Malaysia telah lama menjadi penyokong penyelesaian kewangan yang inovatif untuk mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan ekuiti sosial.
“Berdasarkan pengalaman ini, saya berharap dapat menawarkan pandangan berharga yang akan membantu membentuk usaha IsDB untuk memupuk pembangunan mampan dan keterangkuman kewangan di negara-negara anggotanya,” katanya.
Azmi sebelum ini menjadi ketua pengarah Institut Penyelidikan dan Latihan Islam (Irti) IsDB, kini dikenali sebagai Institut IsDB di Jeddah, Arab Saudi.
Universiti INCEIF berkata, di Irti, Azmi memperkenalkan penyelidikan dasar inovatif yang menghasilkan laporan utama seperti Laporan Kewangan Sosial Islam Irti dan Laporan Global Bank Dunia IsDB mengenai Kewangan Islam.
Beliau juga memberikan sokongan teknikal kepada beberapa negara anggota IsDB untuk melaksanakan kewangan Islam, termasuk dalam pembangunan Pelan Induk Ekonomi Syariah Indonesia 2019-2024 dan Pelan Induk Kewangan Islam Kazakhstan 2020-2025.
Untuk maklumat lanjut tentang Universiti INCEIF, sila layari https://inceif.edu.my/.