Anggota kastam didakwa terima rasuah RM900

Anggota kastam didakwa terima rasuah RM900

Kufariz Iskandar Zulfkifli didakwa menerima rasuah itu bagi melepaskan ubat-ubatan milik sembilan warga Bangladesh di KLIA pada tahun lalu.

sepang
Pembantu penguasa kastam Kufariz Iskandar Zulfkifli didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang atas tuduhan menerima rasuah RM900 bagi melepaskan ubatan-ubatan milik sembilan warga Bangladesh di Terminal 1 KLIA pada 14 Nov tahun lalu. (Gambar Facebook)
SEPANG:
Seorang pembantu penguasa kastam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima ganjaran berjumlah RM900 bagi melepaskan ubatan-ubatan milik sembilan penumpang warga Bangladesh.

Kufariz Iskandar Zulfkifli, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan terbabit sewaktu melakukan pemeriksaan bagasi di Cawangan Pemeriksaan Penumpang Jabatan Kastam, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada kira-kira 1.30 tengah hari, 14 Nov tahun lepas.

Dia dituduh di bawah Seksyen 137 (1)(b) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 137 (1) akta sama dan jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan hingga lima tahun atau didenda tidak melebihi RM500,000 atau kedua-duanya sekali serta ditahan daripada memegang jawatan dalam perkhidmatan awam.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Akhilah Rosmi mencadangkan jaminan berjumlah RM10,000 serta syarat tambahan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kufariz yang tidak diwakili peguam memohon jaminan lebih rendah kerana perlu menanggung anak yang masih kecil, adik-beradik lain dan ibu yang tidak bekerja.

Mahkamah membenarkan jaminan RM7,000 dan syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Dis ini dan tertuduh dinasihat agar melantik peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.