Hasnah bakal dilantik hakim besar Malaya, kata sumber

Hasnah bakal dilantik hakim besar Malaya, kata sumber

Beliau akan menjadi wanita ketiga yang menduduki jawatan ketiga tertinggi di badan kehakiman.

Hasnah Hashim
Hakim Hasnah Hashim dijangka menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara esok.
PETALING JAYA:
Hakim Mahkamah Persekutuan Hasnah Hashim bakal dilantik sebagai hakim besar Malaya seterusnya, jawatan yang masih kosong sejak Mac.

Hasnah, 65, berkemungkinan menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara esok, kata sumber kepada FMT.

Beliau akan mengangkat sumpah jawatannya pada hari yang sama di hadapan Hakim Akhtar Tahir, hakim Mahkamah Tinggi paling kanan.

Hasnah akan menjadi wanita ketiga menduduki jawatan ketiga tertinggi dalam badan kehakiman, selepas Siti Norma Yaakob (2005-2007) dan Zaharah Ibrahim (2018-2019).

Beliau dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2010 dan berkhidmat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dia dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi pada 4 April 2012 dan dinaikkan pangkat ke hakim Mahkamah Rayuan pada 21 Mac 2016.

Hasnah, hakim ketiga paling kanan selepas Hakim Nallini Pathmanathan dan Zabariah Yusof, mengangkat sumpah sebagai hakim Mahkamah Persekutuan pada 5 Dis 2019.

Beliau mengambil alih jawatan hakim besar Malaya daripada Zabidin Diah, yang bersara pada Februari.

Sumber itu juga berkata Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin akan dinaikkan daripada Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Rayuan bersama tujuh hakim Mahkamah Tinggi yang lain.

Mereka ialah Hakim Noorin Badaruddin, Firuz Jaffril, Alwi Abdul Wahab, Faizah Jamaluddin, Ahmad Kamal Shahid, Ismail Brahim dan Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Fairuz bermula sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 30 Mac 2018 dan disahkan sebagai hakim Mahkamah Tinggi pada 25 Mac 2020.

Di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, semua pelantikan kehakiman dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat perdana menteri dan berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Awal hari ini, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar mengesahkan Ahmad Terrirudin Salleh akan melepaskan jawatan peguam negara hari ini dan akan dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan esok.

Seramai 16 pesuruhjaya kehakiman, yang telah berkhidmat dalam jawatan mereka sejak dua tahun lepas, juga akan disahkan sebagai hakim Mahkamah Tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.