
Tertuduh, Chan Wan Kooi, 57, faham pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Hazeelia Muhammad, lapor Berita Harian.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan subahat jenayah dengan Chong Shih Ming, Luong Van Tung dan Tran Van Chung, menculik seorang lelaki berusia 59 tahun dengan tujuan menuntut wang tebusan RM20 juta.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Straits View kira-kira 5 pagi, 13 Oktober lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 (Akta 365) dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 40 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Umar Faiz Abdul Kohar yang mengendalikan pendakwaan membantah sebarang jaminan memandangkan kes itu akan didengar di Mahkamah Tinggi, termasuk isu jaminan.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Jagjit Singh Bant Singh memohon jaminan dibenarkan atas alasan anak guamnya berada dalam reman terlalu lama, mempunyai masalah jantung dan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan berkala.
Pihak pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nor Maisarah Hassan, manakala peguam Fairoz Elyas Majeed serta Ng Kian Pin bertindak sebagai peguam pemerhati.
Mahkamah menolak permohonan ikat jamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 17 November.