Gabungan undi PRU15 PH-BN boleh tawan lebih 20 kerusi PN di Semenanjung

Gabungan undi PRU15 PH-BN boleh tawan lebih 20 kerusi PN di Semenanjung

Namun penganalisis Azmi Hassan berpendapat data PRU15 sahaja tidak mencukupi, perlu juga yakinkan kemampuan kerajaan perpaduan dan lihat sokongan pengundi PRN bermula di Sabah.

Sekurang-kurangnya 20 kerusi Parlimen milik PN di Semenanjung boleh dirampas jika undi diterima PH-BN digabungkan selain trend pengundian tidak berubah pada PRU16.
PETALING JAYA:
Penganalisis berpendapat gabungan undi diterima Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada PRU15 bukan faktor tunggal menentukan kemampuannya menambah kerusi dan mengekalkan pentadbiran Putrajaya selepas PRU16.

Mengikut analisis keputusan PRU berlangsung November 2022 itu, sekurang-kurangnya 20 kerusi Parlimen milik Perikatan Nasional (PN) di Semenanjung boleh dirampas jika undi diterima PH-BN digabungkan selain trend pengundian tidak berubah pada PRU16.

Sebahagian besar kawasan Parlimen itu terletak di Selangor, Perak dan Pahang terutama dimenangi PN dengan majoriti sekitar 200 hingga 5,000 undi.

Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor dan Kuala Langat antara kerusi PN bakal terancam di Selangor manakala di Perak pula Gerik, Parit Buntar, Padang Rengas, Parit dan Lumut selain di Pahang membabitkan Kuantan, Maran, Kuala Krau serta Rompin.

Malah PH-BN juga mampu merampas kerusi tumpuan seperti Permatang Pauh dan Kepala Batas (Pulau Pinang), Gua Musang (Kelantan), Jasin (Melaka), Mersing (Johor) dan Putrajaya (Wilayah Persekutuan).

Bagaimanapun, Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata data PRU15 itu sahaja tidak cukup menentukan kemampuan kerajaan perpaduan meningkatkan sokongan di Dewan Rakyat yang ketika ini berjumlah 147 Ahli Parlimen, tidak termasuk enam wakil Bersatu menyokong pentadbiran Anwar Ibrahim.

“Dalam keadaan status quo sekarang di mana PN menguasai 80% pengundi Melayu manakala kerajaan perpaduan menikmati sokongan bercampur, saya yakin jika PRU diadakan dalam tempoh tiga tahun lagi tiada masalah untuk pemerintah sekarang kekal pentadbiran.

“Tetapi data PRU15 sahaja tidak memadai, mungkin kena tengok keputusan PRN selepas ini di Sabah, kemudian Melaka dan Johor untuk menggambarkan kemungkinan sokongan,” katanya kepada FMT.

“Namun, dalam tiga tahun ini banyak perkara perlu dilakukan untuk meyakinkan bahawa kerajaan perpaduan pilihan terbaik dengan merangkumi parti di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.”

Anwar dalam temu bual bersama FMT baru-baru ini meyakini kestabilan kerajaan perpaduan yang dibentuk dengan sokongan 18 parti politik dan beberapa Ahli Parlimen bebas selepas PRU 2022.

Beliau turut menjangkakan kerjasama peringkat persekutuan bukan sahaja sepanjang penggal sekarang tetapi selepas PRU akan datang.

Faktor persempadanan semula

Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjelaskan, proses persempadanan semula kawasan Parlimen yang akan dibuat iaitu sebelum PRU16 dilihat bakal ‘menguntungkan’ PH yang menguasai banyak kerusi di bandar.

Ini kerana Lau menjangkakan banyak kerusi Parlimen di bandar akan dipecahkan kerana mempunyai ramai pengundi bagi memudahkan wakil rakyatnya untuk lebih fokus berkhidmat.

“Kerusi ini banyak dimenangi PH dan bila dipecahkan nanti senang untuk mereka tambah kerusi,” katanya, menyatakan persempadanan itu dibuat atas dasar keadilan mengambil kira jumlah pengundi di bawahnya.

Katanya, keadaan itu pasti memberi kelebihan kepada PH dan BN kerana berpotensi menambah kerusi.

Pada sidang Dewan Rakyat November tahun lalu, Ramkarpal Singh, timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) ketika itu berkata proses persempadanan semula kawasan pilihan raya di Semenanjung akan bermula pada 2026 manakala 2025 di Sabah dan tahun lalu untuk Sarawak.

Menurutnya, proses itu dijangka mengambil masa dua tahun dan laporan penemuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan dikemukakan kepada perdana menteri.

Antara faktor diambil kira termasuk nisbah pengundi di setiap kawasan. Kali terakhir kajian persempadanan dibuat di Semenanjung pada 2018 manakala Sarawak dan Sabah masing-masing pada 2015 dan 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.