Bekalan elektrik pulih di 7 daerah Sabah

Bekalan elektrik pulih di 7 daerah Sabah

Semporna, Lahad Datu, dan Tawau tidak mendapat bekalan lebih lima jam bermula 12.14 tengah hari.

TAWAU
Tawau antara daerah terjejas bekalan elektrik sejak tengah hari tadi. (Gambar Wikimedia Commons)
PETALING JAYA:
Tenaga elektrik di tujuh daerah terputus bekalan hari ini telah dipulihkan.

Dalam catatan di Facebook pada 4.35 petang, Sabah Electricity berkata bekalan dipulihkan di Sandakan, Kinabatangan, Beluran, dan Kunak, manakala kerja memulihkan bekalan masih berjalan di Semporna, Lahad Datu, dan Tawau.

Bagaimanapun, dalam kemas kini pada 5.48 petang, syarikat utiliti itu berkata bekalan di tiga kawasan tersebut telah dipulihkan.

Ini bermakna tiga daerah berkenaan tidak mendapat bekalan lebih daripada lima jam, bermula 12.14 tengah hari.

Gangguan bekalan juga menjurus gangguan air di daerah terjejas memandangkan loji rawatan air tidak mampu beroperasi.

Punca gangguan masih belum dikenal pasti.

“Bekalan elektrik di Timur Sabah kembali pulih. Sabah Electricity amat menghargai kesabaran anda dan segala kesulitan amat dikesali,” katanya.

Isnin lalu, Pengerusi Sabah Electricity Wilfred Madius Tangau, berkata keseluruhan negeri berpotensi terputus bekalan tenaga bermula Januari ini jika kerajaan persekutuan tidak menyediakan sokongan kewangan segera.

Tangau, yang juga Ahli Parlimen Pakatan Harapan dari Upko, turut memetik surat daripada Suruhanjaya Tenaga Sabah memaklumkan kepadanya bahawa tambahan RM866 juta subsidi elektrik diberikan tahun lalu tidak akan dipertimbangkan tahun ini kerana kekangan fiskal.

Sejak 2014, tarif elektrik Sabah ditetapkan pada kadar subsidi 34.52 sen per kWh, walaupun kos menjana dan membeli tenaga meningkat.

Sabah Electricity menjana hanya 20% bekalan tenaga negeri, dan bergantung 80% bekalan daripada pengeluar tenaga bebas (IPP) pada kos tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.