Siasatan terhadap FashionValet ambil masa, kata SPRM

Siasatan terhadap FashionValet ambil masa, kata SPRM

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata ini kerana kerugian pelaburan RM43.9 juta turut melibatkan beberapa keputusan korporat.

macc
Azam Baki tidak menolak pengasas FashionValet, Vivi Yusof dan suaminya akan dipanggil buat kali kelima oleh SPRM.
PETALING JAYA:
Siasatan berkait kerugian pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam FashionValet tidak dapat diselesaikan dalam tempoh singkat.

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki, berkata ini kerana kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta itu turut melibatkan beberapa keputusan korporat.

Katanya, pihaknya menyerahkan kepada pegawai penyiasat sepenuihnya sama ada ingin menahan pengasas FashionValet, Vivy Yusof dan suaminya, Fadzarudin Shah Anuar.

“Setakat ini pegawai SPRM membuat yang terbaik dalam menyelesaikan kes ini, tetapi saya jangka ia tidak boleh diselesaikan dalam masa yang singkat disebabkan ia juga membabitkan beberapa keputusan korporat.

“Jadi ia akan mengambil masa sedikit,” katanya kepada Berita Harian.

Azam juga tidak menolak Vivy dan suaminya itu akan dipanggil semula esok untuk sesi kelima siasatan.

“Dalam beberapa sesi terdahulu kita mendapatkan maklumat menerusi dokumen, akaun, pelaburan yang masuk ke dalam FashionValet serta aset-aset yang dimiliki.

“Oleh saya tidak melihat ia akan diselesaikan hari ini dan menjangkakan pegawai penyiasat akan memanggil mereka kembali untuk membantu siasatan,” katanya.

Semalam, Azam berkata ada beberapa transaksi akaun mencurigakan dikesan berlaku sejak 2018 hingga tahun lalu, selain pihaknya percaya sebahagian pelaburan diterima telah disalahguna.

Sabtu lalu, media melaporkan SPRM memulakan siasatan berhubung kerugian pelaburan RM43.9 juta dialami Khazanah dan PNB dalam platform e-dagang fesyen, FashionValet.

Dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat 28 Okt lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam FashionValet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.

Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.

Pada 6 Nov, SPRM menggeledah kediaman pasangan berkenaan dan menyita 11 beg tangan serta seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000.

Agensi antirasuah itu turut membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik pengasas terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.