MoU peruntukan: Beri sahaja, tak perlu runding individu, kata wakil Bersatu

MoU peruntukan: Beri sahaja, tak perlu runding individu, kata wakil Bersatu

Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin berkata sebarang rundingan perlu dilakukan secara en-bloc atau bersama.

MAS ERMIEYATI
Mas Ermieyati Samsudin menegaskan, peruntukan sepatutnya diberikan secara terus kepada wakil pembangkang kerana ia hak Ahli Parlimen yang dipilih rakyat di kawasan masing-masing.
PETALING JAYA:
Wakil rakyat Bersatu tidak bersetuju jika kerajaan melakukan rundingan secara individu dengan berhubung draf memorandum persefahaman (Mou) berkait peruntukan untuk pembangkang.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin, berkata kerajaan perlu menghormati wakil pembangkang yang menang kerusi Parlimen di bawah payung Perikatan Nasional (PN) dan sebarang rundingan perlu dilakukan secara en-bloc atau bersama.

“Rundingan peruntukan perlu dibuat secara en-bloc, biarlah hanya ketua pembangkang dan ketua whip berbincang berkenaan dengan syarat-syarat peruntukan yang diperlukan untuk memastikan kedua-dua belah pihak capai kata sepakat,” katanya ketua wanita Bersatu itu kepada FMT.

Mas Ermieyati menegaskan, peruntukan itu sepatutnya diberikan secara terus kepada wakil pembangkang kerana ia hak Ahli Parlimen yang telah dipilih rakyat di kawasan masing-masing.

“Seeloknya dapat diberikan sahaja peruntukan tanpa syarat (MoU) kerana ia merupakan hak Ahli Parlimen,” katanya.

Selain wakil rakyat Bersatu, Ahli Parlimen PAS juga menolak cubaan kerajaan berunding secara individu berkait peruntukan untuk pembangkang.

Semalam, Ahli Parlimen Kubang Kerian Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata sebarang rundingan mesti melalui parti dan syarat mesti dimaklumkan kerana semua Ahli Parlimen terikat dengan parti diwakili.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof sebelum itu berkata kerajaan masih terbuka berbincang dengan Ahli Parlimen pembangkang ‘secara individu’ berhubung draf MoU berkait peruntukan untuk mereka.

Beliau yang mewakili kerajaan bagi rundingan itu berkata perbincangan secara berkumpulan tidak lagi dibenarkan memandangkan PN telah membuat keputusan menolaknya.

Pada 16 Sept lalu, Fadillah mendedahkan dua draf MoU sebagai maklum balas kepada pihak pembangkang yang dikatakan lebih gemar membuat kenyataan melalui media, bagi membuktikan ketelusan kerajaan, selain mengalu-alukan cadangan baharu atau maklum balas.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa bulan lalu mendedahkan hanya Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dari Muda memberi maklum balas rasmi namun PN pula bersikap sebaliknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.