Bilangan penganggur terus menurun pada September

Bilangan penganggur terus menurun pada September

Kadar pengangguran 3.2% pada bulan itu kesan prestasi memberangsangkan ekonomi dan pasaran buruh kekal kukuh.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin, berkata kadar penyertaan tenaga buruh tertinggi adalah di Selangor, Kuala Lumpur, dan Johor.
PUTRAJAYA:
Bilangan penganggur pada September 2024 terus menurun kepada 555,300 dengan kadar pengangguran 3.2%, kata Statistik Tenaga Buruh September dan Suku Ketiga 2024 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin, berkata bilangan penganggur semakin berkurangan (Ogos 2024: 558,500) dan peningkatan bilangan penduduk bekerja adalah susulan prestasi ekonomi negara yang memberangsangkan dan kedudukan pasaran buruh negara pada September 2024 kekal kukuh.

“Oleh itu, bilangan tenaga buruh terus berkembang pada September dengan pertambahan sebanyak 0.1% mencatatkan 17.24 juta orang (Ogos 2024: 17.22 juta).

“Sehubungan itu, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang lebih tinggi direkodkan iaitu pada 70.5%, meningkat sebanyak 0.1 mata peratus, berbanding bulan sebelumnya (Ogos 2024: 70.4%),” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut mengenai pengangguran, beliau berkata kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun meningkat kepada 10.5%, naik 0.1 mata peratus daripada bulan lepas dengan 304,200 (Ogos 2024: 303,000).

Kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun turun kepada 6.3%, merekodkan 420,100 penganggur belia (Ogos 2024: 428,500).

Mengenai prestasi keseluruhan bagi suku ketiga tahun (ST3) 2024, Uzir berkata bilangan tenaga buruh menunjukkan trend positif, meningkat sebanyak 0.7% suku tahun ke suku tahun kepada 17.26 juta (ST2 2024: 17.15 juta).

“Bilangan penduduk bekerja meningkat sebanyak 0.7% kepada 16.72 juta (ST2 2024: 16.59 juta), manakala penganggur berkurang sebanyak 1.8% kepada 547,900 (ST2 2024: 557,800), merekodkan kadar pengangguran 3.2% pada ST3 2024 berbanding 3.3% pada ST2 2024,” katanya.

Dari segi kadar pengangguran dan KPTB mengikut negeri, Kedah mencatatkan kadar pengangguran paling rendah, 1.6% pada suku tahun berkenaan, diikuti Selangor (1.9%), manakala Pulau Pinang dan Putrajaya masing-masing pada 2.0%.

Selangor mencatatkan KPTB tertinggi iaitu pada 76.3%, diikuti Kuala Lumpur (74.9%), dan Johor (71.4%).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.