Diskaun 50% bayaran saman, polis kutip RM1.87 juta dalam 2 hari

Diskaun 50% bayaran saman, polis kutip RM1.87 juta dalam 2 hari

Polis Kuala Lumpur menawarkan diskaun saman 50% kepada pesalah trafik mulai Selasa lalu hingga Sabtu ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Mohd Yusri Hassan Basri berkata kutipan itu membabitkan 17,002 saman yang diselesaikan sejak Selasa lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lebih RM1.87 juta dikutip menerusi tawaran diskaun 50% saman trafik oleh IPK Kuala Lumpur dalam tempoh dua hari sejak Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata kutipan itu membabitkan 17,002 saman diselesaikan, merangkumi RM270,850 bayaran tunai, e-bayaran (RM882,340) dan kupon 50% (RM725,430).

Sempena tawaran diskaun sehingga Sabtu ini, katanya, JSPT Kuala Lumpur menyediakan enam khemah dan membuka 19 kaunter semakan, pinda dan bayaran saman, termasuk menyediakan 14 mesin e-bayaran.

Beliau berkata, turut disediakan khemah menempatkan kaunter MyBayaran Saman, tiga kaunter untuk orang kurang upaya (OKU), warga emas dan ibu mengandung serta 350 kerusi menunggu.

Menurutnya, pengurangan saman membantu mengurangkan beban kewangan sambil mendidik masyarakat untuk patuh pada peraturan jalan raya.

“Bayarlah saman tepat pada waktunya demi kelancaran urusan dan terhindar daripada hukuman lebih berat. Jangan biarkan hutang bertambah.

“Kepatuhan kita membayar saman menunjukkan tanggungjawab sebagai pengguna jalan raya. Disiplin ini membantu mencipta lalu lintas yang aman bagi semua,” katanya menurut Berita Harian dalam sidang media di Dataran Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur.

Tawaran diskaun itu tidak termasuk saman kemalangan, bicara mahkamah, kategori tidak boleh kompaun, memotong secara berbahaya, kesalahan menggunakan lorong kecemasan, langgar lampu isyarat, kenderaan berat, pengubahsuaian ekzos, saman berstatus Op Selamat dan kesalahan memotong di garisan berkembar.

Sementara itu, Yusri berkata, polis merekodkan 135,915,377 saman lebih RM20.38 bilion sejak 1990 hingga kini, dengan 67% atau lebih 92,317,493 saman bernilai RM8.56 bilion sudah dijelaskan.

“Bagi saman tertunggak pula, kita merekodkan 33% iaitu 43,597,884 saman membabitkan RM6.53 bilion.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.