Perlu penyelesaian ‘menang-menang’ dalam isu O&G Sarawak, kata Fadillah

Perlu penyelesaian ‘menang-menang’ dalam isu O&G Sarawak, kata Fadillah

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata kejayaan industri minyak dan gas negara adalah hasil kerjasama kukuh negeri-persekutuan.

Fadillah Yusof
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata Sarawak mahu lebih kuasa terhadap sumbernya berdasarkan semangat Perjanjian Malaysia 1963.
PETALING JAYA:
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof menyeru kerajaan persekutuan dan Sarawak berusaha mencapai kesepakatan memanfaatkan kedua-dua pihak dalam pertikaian hak eksplorasi minyak dan gas di luar pantai Sarawak.

Beliau memberitahu FMT bahawa Sarawak menuntut hak ke atas semua sumber yang ditemui dalam sempadannya, termasuk pelantar benua (dasar laut dan tanah bawah tanah (subsoil) di luar perairan wilayah).

“Bagi Sarawak, pelantar benua memanjang sejauh kira-kira 100 batu (160km) dari sempadan wilayah,” kata Fadillah, pemimpin kanan Gabungan Parti Sarawak.

Beliau berkata, Sarawak mahukan ‘lebih kuasa’ ke atas sumber-sumbernya, berdasarkan ‘semangat Perjanjian Malaysia 1963’.

Di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974, Petronas diberi hak milik penuh dan kuasa eksklusif ke atas semua sumber minyak dan gas di seluruh negara, baik di darat mahupun di luar pesisir.

Fadillah berkata hak Sarawak ke atas minyak dan gas luar pesisir adalah berdasarkan Ordinan Perlombongan Minyak 1958 yang didakwa negeri itu digantung selepas pengisytiharan darurat pada 1969.

“Semasa darurat, hanya kerajaan persekutuan boleh memperkenalkan undang-undang. Itulah sebabnya ordinan itu tidak dapat dikuatkuasakan,” katanya.

Negeri itu menegaskan undang-undang itu berkuat kuasa semula selepas darurat ditamatkan pada 2011, sekali gus mengembalikan hak Sarawak ke atas semua sumber minyak dan gasnya seperti yang dituntut.

DUN Sarawak turut meluluskan Ordinan Pengagihan Gas 2016 yang memberi kuasa kepadanya untuk mengambil alih peranan Petronas sebagai agregator gas di negeri itu.

Ordinan itu membolehkan syarikat minyak milik Sarawak, Petros mengawal semua pembelian, penjualan, penetapan harga, bekalan, dan pengedaran gas asli cecair di negeri itu.

Rundingan antara Petronas dan Petros dalam hal ini sedang berlangsung, dengan Fadillah berharap pengurusan komersial diputuskan untuk Petronas meneruskan eksplorasi luar pesisir manakala Petros mengambil alih semua aktiviti di darat.

Fadillah yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air mengakui kedua-dua pihak mempunyai pandangan tersendiri berhubung ketetapan yang adil.

“Apa yang kita mahu capai ialah ketetapan ‘menang-menang’ untuk kedua-dua kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya.

Keuntungan Bersama

Langkah Sarawak untuk memindahkan hak agregator kepada Petros dijangka meningkatkan hasil berkaitan minyak dan gas bagi negeri itu.

Ini juga akan membolehkan Kuching mengawal eksportnya. Ketika ini, 95% LNG yang dihasilkan di Sarawak dieksport. Bagaimanapun, negeri itu mahu menempah sehingga 30% untuk penggunaan tempatan di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak 2030.

Buat masa ini, Sarawak menjamin bekalan LNG yang mencukupi bagi membolehkan Petronas memenuhi semua kontrak eksport sedia ada termasuk ke Jepun, tetapi belum jelas apa yang akan berlaku selepas kontrak itu tamat.

Bagaimanapun pemerhati industri memberi amaran penglibatan Petronas yang terhad di Sarawak tidak akan memberi manfaat kepada sektor minyak dan gas (O&G) negeri itu mahupun Malaysia.

Sarawak pemain utama dalam sektor O&G Malaysia, namun kejayaan itu banyak disumbangkan oleh kehadiran kukuh Petronas di negeri itu.

Pengeluaran O&G dari eksplorasi hingga pengedaran memerlukan pelaburan yang besar terutamanya bagi tapak luar pesisir. Ia melibatkan pembinaan infrastruktur yang mahal untuk sektor O&G tempatan Sarawak, termasuk kilang baja Asean Bintulu dan kompleks LNG di Bintulu.

Kerajaan persekutuan juga menyalurkan sumber yang besar kepada industri O&G Sarawak, termasuk rundingan peraturan perdagangan dengan negara lain bagi memudahkan eksport.

Ia turut memastikan keselamatan tapak luar pesisir Sarawak melalui penempatan angkatan tentera di Laut China Selatan, di mana berlaku banyak pencerobohan, terutama oleh kapal China.

Seorang penganalisis industri yang enggan dikenali berkata: “Petros memerlukan Petronas untuk nasihat dan pengalamannya dalam jangka masa sederhana – sekurangnya untuk lima hingga 10 tahun akan datang. Petronas mempunyai pengalaman yang luas dalam menjalankan aktiviti huluan dan hiliran.

“Petros yang baru ditubuhkan pada 2018, perlu memanfaatkan pengalaman tersebut. Saya tidak fikir mereka boleh mengendalikan semuanya – eksplorasi, pengeluaran, pengedaran, dan sebagainya – dengan sendiri.

“Sudah tentu, modal insan boleh diperoleh, tetapi ia tidak boleh beroperasi sepenuhnya dengan serta-merta. Jadi, anda tahu, tiada manfaat bagi mana-mana pihak jika hubungan sedia ada terjejas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.