Pengasas Bestinet nafi salah laku susulan permintaan ekstradisi Bangladesh

Pengasas Bestinet nafi salah laku susulan permintaan ekstradisi Bangladesh

Polis Bangladesh dilaporkan menulis surat kepada Putrajaya meminta penahanan dan ekstradisi Aminul Islam dan rakan perniagaannya.

Bestinet mempunyai kontrak kerajaan untuk menyediakan sistem IT pengambilan pekerja asing dikenali sebagai Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS).
PETALING JAYA:
Seorang pengasas firma IT menafikan salah laku selepas polis Bangladesh dilaporkan meminta untuk mengekstradisinya berhubung siasatan dikaitkan dengan pengambilan pekerja asing.

Semalam, Bloomberg melaporkan polis Bangladesh menulis surat kepada Putrajaya meminta penahanan dan ekstradisi Pengasas Bestinet Sdn Bhd, Aminul Islam dan seorang rakan perniagaannya, Ruhul Amin, untuk membantu siasatan dakwaan pengubahan wang haram, pemerasan dan pemerdagangan pekerja asing.

Bestinet mempunyai kontrak kerajaan untuk menyediakan sistem IT bagi pengambilan pekerja asing dikenali sebagai Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS). Polis Bangladesh meminta Putrajaya menghentikan penggunaannya buat sementara waktu.

Dalam kenyataan, peguam Aminul N Sivananthan berkata artikel Bloomberg membayangkan bahawa anak guamnya atau Bestinet mungkin terlibat dalam amalan melanggar undang-undang adalah ‘tidak berasas sama sekali’.

Beliau menafikan dakwaan sama ada mengaitkan Aminul atau Bestinet dengan pemerdagangan manusia atau pengubahan wang haram.

Sivananthan berkata, Aminul mahupun Bestinet tidak pernah terlibat dalam proses pengambilan atau mempunyai interaksi langsung dengan agensi pengambilan atau bakal pekerja di Bangladesh atau di tempat lain.

Katanya, peranan Bestinet terhad kepada penyediaan pelaksanaan dan sokongan teknikal untuk FWCMS.

“Aminul tidak, pada bila-bila masa, terlibat dalam aktiviti di luar skop perkhidmatan teknologi Bestinet yang dibenarkan secara rasmi,” kata Sivananthan, sambil menambah Aminul hanya berkhidmat sebagai pemegang saham di Bestinet.

“Teknologi Bestinet dibangunkan khusus untuk memupuk amalan pengambilan yang telus dan sah, yang dipantau dan dikawal rapi oleh badan kerajaan Malaysia dan Bangladesh.

“Semua keputusan pengambilan kekal sepenuhnya bawah bidang kuasa pihak berkuasa kerajaan yang berkaitan di Malaysia dan Bangladesh…dan setiap aspek platform FWCMS beroperasi dengan mematuhi sepenuhnya piawaian Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia serta garis panduan antarabangsa.”

Menurut surat bertarikh 24 Okt dari cawangan Interpol Bangladesh, yang dihantar kepada pihak berkuasa Malaysia, mangsa didakwa diseksa secara fizikal dan mental.

Bloomberg mengesahkan kandungan surat itu dengan cawangan Interpol Bangladesh dan pegawai kanan kerajaan Bangladesh.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Bestinet pada 2022 atas dakwaan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan pemilihan 25 agensi Bangladesh untuk pengambilan pekerja asing, dengan Aminul antara yang disoal siasat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.