
Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin berkata kedua-duanya akan dipanggil memberi keterangan berhubung usaha kerajaan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional mendapatkan semula aset 1MDB dari 2018 hingga 2021.
Beliau berkata PAC juga akan memanggil bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Asri Hamidon dan firma guaman Rosli Dahlan Saravana yang pernah menganggotai pasukan petugas khas 1MDB.
“Prosiding dijangka diadakan pada minggu ketiga bulan ini,” katanya dalam kenyataan.
PAC melancarkan prosiding selepas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2023 membangkitkan isu berkaitan komitmen kewangan 1MDB.
LKAN mendedahkan kerajaan menyalurkan geran sebanyak RM39.74 bilion kepada 1MDB antara 2019 dan 2023 untuk pembayaran balik prinsipal dan faedah bon, dengan tambahan RM9.46 bilion diperlukan.
Laporan itu turut mengesyorkan pemulihan aset berkaitan 1MDB dan SRC International Sdn Bhd daripada sumber dalam serta luar negara.
Mas Ermieyati berkata setakat ini, PAC sudah mendengar penjelasan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican dan Ketua Pasukan Petugas 1MDB Johari Ghani.
“Dalam prosiding yang mengambil masa dua jam, PAC mendengar mengenai usaha kerajaan dalam mendapatkan aset 1MDB serta pembiayaan hutang 1MDB yang berjumlah RM9.456 bilion.”
Prosiding membabitkan pengurusan akaun belum terima Lembaga Hasil Dalam Negeri, yang turut dibangkitkan dalam LKAN, juga akan disambung pada minggu ketiga bulan ini.
Dalam pada itu, Mas Ermieyati berkata PAC akan membentangkan laporannya berhubung Majlis Profesor Negara esok.
Majlis itu menjadi tumpuan selepas LKAN 2024 mendedahkan dana kira-kira RM373,516 disalahgunakan yang menyebabkan timbul gesaan untuk pembubarannya. Ia disusuli Presidennya, Raduan Che Rose berdepan tujuh pertuduhan pecah amanah membabitkan RM271,000 dana majlis itu.