
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata kajian itu termasuk kemungkinan penyalahgunaan kedudukan dominan mana-mana syarikat yang mengawal bekalan benih, import dan sebagainya.
“Berkenaan beras dan petani, saya nak maklumkan MyCC sudah menyiapkan laporan kajian mereka berkenaan kartel padi dan beras. Tetapi saya tidak boleh dedahkan di sini lagi sehingga laporan rasmi itu didedahkan, tetapi sudah pun diselesaikan,” katanya pada sesi soal jawab.
Beliau menjawab soalan tambahan Shahidan Kasim (PN-Arau) yang ingin tahu usaha kementerian dalam mengawal harga beras, dan cadangan untuk menaikkan harga lantai belian padi yang ketika ini ditetapkan pada RM1,300 satu tan.
Menjawab soalan asal Shahidan mengenai usaha kerajaan menangani masalah kartel dan monopoli yang mempengaruhi kenaikan harga barang, Fuziah berkata MyCC memainkan peranan untuk menyiasat dan mengambil tindakan sekiranya terdapat sebarang aktiviti kartel dan monopoli sepanjang rantaian sesuatu bekalan.
“Kartel ini apabila ada beberapa syarikat berpakat untuk mengawal harga contohnya melibatkan makanan haiwan dan di sepanjang rantaian bekalan itu kalau berlaku mereka berpakat maka harga makanan akan meningkat.
“Monopoli pula apabila ada satu syarikat menyalah guna kuasa dominannya untuk meletakkan syarat berbeza sehingga dia dapat keuntungan dari situ… dalam keadaan ini MyCC memainkan peranan buat siasatan dan mengenakan tindakan sekiranya ada berlaku keadaan kartel dan monopoli,” katanya.