
Hakim Aslam Zainuddin menetapkan 10 Dis untuk sebutan semula selepas Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob berkata pihaknya memerlukan lebih masa kerana representasi dikemukakan Sanusi masih dalam pertimbangan peguam negara.
“Saya berharap ini tarikh yang terakhir,” kata Aslam.
Sanusi didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Beliau berdepan dua pertuduhan menghasut berhubung pelantikan menteri besar Selangor dan penubuhan kerajaan perpaduan dalam satu ceramah politik.
Pada September lalu, Sanusi memohon maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan mengakui kenyataan dibuatnya dalam ceramah pada Julai tahun lalu menimbulkan rasa tidak selesa, mengguris hati dan perasaan baginda.
Pemimpin PAS itu juga berkata, beliau amat menyesal dan berjanji lebih berhati-hati dengan kenyataannya agar selaras adab sopan budaya Melayu yang sentiasa menjunjung tinggi Raja-raja Melayu dan institusi raja.
Kenyataan Sanusi itu berkaitan pelantikan menteri besar Selangor.
Tahun lalu, Sanusi berkata beliau menulis surat kepada Sultan Sharafuddin untuk menjelaskan kenyataannya, dengan mendakwa ia diputarbelitkan oleh Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.
Pengarah pilihan raya Perikatan Nasional itu bagaimanapun didakwa atas pertuduhan membuat kenyataan berunsur hasutan terhadap istana, dan beliau mengaku tidak bersalah.