Pendakwa fail rayuan tambah hukuman Da’i Syed

Pendakwa fail rayuan tambah hukuman Da’i Syed

Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful kini dilepaskan sementara selepas Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan hukuman.

Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful
Pada 30 Ogos lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam Norazlin Othman menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan ke atas Da’i Syed serta menolak permohonannya menangguhkan pelaksanaan hukuman. (Bernama pic)
SHAH ALAM:
Pihak pendakwaan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini bagi menambah hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan terhadap pendakwah selebriti Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful atau lebih dikenali sebagai Da’i Syed atas pertuduhan merogol seorang wanita, lima tahun lepas.

Perkara itu dimaklumkan peguam Muhammad Amin Othman yang mewakili Syed Shah Iqmal, 29, kepada pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nadia Othman hari ini.

“Kita (pembelaan) merayu terhadap sabitan dan hukuman, pihak pendakwaan pula merayu bagi hukuman,” kata peguam itu dan menambah mahkamah menetapkan 10 Dis ini untuk pengurusan kes lanjut.

Terdahulu Syed Shah Iqmal tiba di pekarangan mahkamah pada 9.15 pagi.

Bapa seorang anak itu kini dilepaskan sementara selepas 21 hari ditahan di Penjara Kajang setelah Hakim Mahkamah Tinggi Aslam Zainuddin membenarkan permohonan beliau untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sehingga rayuannya diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Pada 30 Ogos lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam Norazlin Othman menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan ke atas Syed Shah Iqmal serta menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman selepas mendapati tiada keadaan khas bagi membenarkan permohonan tersebut.

Dia dijatuhkan hukuman berkenaan selepas didapati bersalah merogol wanita berusia 23 tahun di dalam bilik di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, pada 1.35 pagi 11 Sept 2019.

Syed Shah Iqmal didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 10 April tahun lepas, Mahkamah Sesyen Shah Alam melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan merogol selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 7 Mac lepas mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan dan memerintahkan tertuduh membela diri atas pertuduhan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.