
Ketua Setiausaha Hasnol Zam Zam Ahmad berkata sebanyak lapan pusat mediasi ditubuhkan sejak 2023, dan penambahan akan dilakukan mengikut kesesuaian keadaan.
“Belum tetapkan sasaran. Sebab ada banyak perkara yang perlu diambil kira, antaranya kemudahan lokasi premis, kecukupan tenaga kerja untuk menampung penambahan pusat tersebut.
“Kami tak nak nanti sukarelawan tiada apabila lebih banyak pusat mediasi komuniti ditubuhkan. Perlu ramai lagi untuk tampil memberi sumbangan,” katanya selepas merasmikan Pusat Mediasi Komuniti Putrajaya.
Pada masa ini, pusat mediasi komuniti ditubuhkan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor, Negeri Sembilan, Melaka, dan Perlis, selain Putrajaya.
Terdahulu, Hasnol ketika berucap berkata seramai 571 orang mediator komuniti ditauliahkan dan memberi khidmat secara sukarela tanpa apa-apa bayaran.
Katanya, proses mediasi mewujudkan ruang bagi pihak-pihak yang terlibat dalam perselisihan faham mengadakan perbincangan secara terbuka, untuk mencapai penyelesaian ‘menang-menang’.
“Ia turut membantu mengurangkan beban yang ditanggung sistem kehakiman negara, terutama bagi kes-kes kecil atau pertikaian yang boleh diselesaikan secara aman,” katanya.
Mengulas lanjut, Hasnol berkata pengambilan mediator komuniti terbuka kepada semua yang berminat tanpa mengira status.
“Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional akan menyebar luas lagi produk mediator komuniti itu supaya lebih ramai dari pelbagai kaum dan latar belakang ceburi skuad mediator di seluruh negara,” katanya.