JPJ, Kementerian Pengangkutan didakwa langgar hak cipta nombor plat ‘MADANI’

JPJ, Kementerian Pengangkutan didakwa langgar hak cipta nombor plat ‘MADANI’

Pengarah program Ilham Madani Sdn Bhd menuntut kerajaan membayar ganti rugi sebanyak RM1.3 juta.

plat madani
Pada Oktober lalu, dilaporkan siri nombor pendaftaran istimewa ‘MADANI’ menjana pendapatan kerajaan sebanyak RM2.62 juta. (Gambar JPJ)
PETALING JAYA:
Seorang pengarah program dari syarikat dikenali sebagai Ilham Madani Sdn Bhd menuntut kerajaan membayar ganti rugi sebanyak RM1.3 juta kerana didakwa melanggar hak cipta melibatkan siri nombor pendaftaran khas ‘MADANI’.

Dalam surat tuntutan kepada Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu, Hasan Azhari Hashim mendakwa sebagai pemilik sah karya hak cipta ‘Kertas Kerja Mewujudkan Nombor Plat Khas Kenderaan Bersiri Madani 1 Sehingga Madani 9999 Untuk Didaftarkan Di Malaysia’.

Katanya, ia didaftarkan secara sah ke dalam Daftar Hak Cipta mengikut Seksyen 26B Akta Hak Cipta 1987.

Surat tuntutan itu yang diserahkan semalam melalui firma guaman Raj & Sach, menuntut kerajaan membayar ganti rugi dalam tempoh tujuh hari dari tarikh serahan.

“Sekiranya pihak tuan gagal, abai atau enggan membuat pembayaran penuh bagi jumlah tertunggak tersebut, anak guam kami mengarahkan agar tindakan undang-undang dimulakan terhadap pihak tuan untuk menuntut semula jumlah tertunggak tanpa sebarang notis atau rujukan lanjut,” kata surat itu.

Surat itu mendakwa Hasan menghantar cadangan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Februari tahun lalu untuk satu kerja sama dalam penjualan nombor plat khas dari MADANI 1 hingga 9999 berdasarkan hak cipta itu.

Bagaimanapun, JPJ pada April tahun yang sama mengeluarkan satu kenyataan bahawa mereka tidak akan mengeluarkan nombor plat siri ‘MADANI’. JPJ turut memberi amaran kepada orang awam agar tidak mempercayai sebarang ‘berita palsu’ mengenai perkara itu.

Hasan kemudiannya menghantar cadangan lanjut kepada perdana menteri pada Ogos dan Okt 2023 yang kemudian dirujuk kepada Kementerian Pengangkutan.

Bagaimanapun, Hasan berkata beliau menerima surat yang menolak permohonan tersebut dengan alasan ketetapan sedia ada tidak lagi membenarkan pengeluaran nombor pendaftaran khas kepada pihak swasta, badan bukan kerajaan dan lain-lain entiti selain JPJ.

Menurut surat itu, pada Oktober tahun ini, Hasan mengetahui JPJ mengeluarkan notis awam nombor pendaftaran istimewa siri ‘MADANI’ dengan harga bidaan minimum bermula RM100.

Hasan menuduh kerajaan menggunapakai idea dan karya hak cipta tersebut secara tidak sah, yang merupakan pelanggaran jelas terhadap hak cipta beliau.

“Anak guam kami mendapati bahawa pihak tuan melanggar hak intelek anak guam kami dengan menggunakan, menyalin, mengedar, atau mengubah tanpa kebenaran karya hak cipta tersebut dengan menjual nombor pendaftaran khas kenderaan ‘MADANI 1-9999’,” kata surat itu.

Pada Oktober, Bernama turut melaporkan bahawa siri nombor plat ‘MADANI’ yang ditawarkan kepada orang awam menjana RM2.62 juta untuk kerajaan.

FMT cuba menghubungi Kementerian Pengangkutan untuk mendapatkan komen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.