
Sistem yang dahulunya terpisah, kini berkembang menjadi rangkaian luas dan bersepadu, dengan laluan bersilang membawa jutaan penumpang ke seluruh pelosok kawasan di Lembah Klang atau Greater Kuala Lumpur.
Pada 2004, Rapid KL selaku jenama perkhidmatan Prasarana ditubuhkan dan mengambil alih perkhidmatan LRT Projek Usahasama Transit Ringan Automatik Sdn Bhd (Putra) dan Sistem Transit Aliran Ringan (Star) LRT yang berdepan masalah kewangan.
Penjenamaan semula kedua-dua laluan LRT tersebut kepada Laluan Kelana Jaya dan Laluan Ampang/Sri Petaling dilakukan dan disatukan bawah nama perkhidmatan Rapid KL
Ketika itu, terdapat dua stesen LRT berasingan di Masjid Jamek – satu bagi setiap laluan.
Antara langkah awal Rapid KL adalah mengintegrasikan stesen ini menjadi satu hab untuk meningkatkan kesalinghubungan di pusat bandar raya Kuala Lumpur.
Sempena ulang tahun ke-20 Rapid KL, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah, mengimbas kembali pencapaian syarikat sepanjang dua dekad lalu.
“Salah satu pencapaian utama ialah mengendalikan laluan Ampang dan Kelana Jaya serta melanjutkannya hingga ke Putra Heights. Pada 2016, Fasa 1 laluan Kajang dilancarkan, dan pada 2017 Fasa 2 dibuka.
“Tahun lalu kami melancarkan keseluruhan laluan Putrajaya. Dari perspektif rangkaian rel, ia telah berkembang dengan pesat,” katanya kepada FMT.
Azharuddin berkata, perkhidmatan bas Rapid KL kini merangkumi bas elektrik, yang digunakan di laluan Bas Rapid Transit (BRT) Sunway, selaras dengan prinsip kelestarian dan komitmen untuk mengurangkan jejak karbon.
Pengendali pengangkutan awam itu juga sudah memperluaskan perkhidmatan basnya yang kini beroperasi di 323 laluan.
Bangkit semula
Perjalanan Rapid KL tidak terlepas daripada berdepan cabaran tersendiri. Pandemik Covid-19 yang melanda pada 2020 dan perlanggaran di Laluan Kelana Jaya tahun berikutnya memberi
kesan besar kepada syarikat tersebut.
“Selepas insiden pada Mei 2021, kerajaan melahirkan rasa kebimbangan dan kekecewaan. Tugas saya ketika mengambil alih jawatan ini, sejurus kemalangan terbabit adalah untuk memastikan situasi buruk seperti itu tidak berulang.
“Amanah yang diberikan oleh kerajaan adalah supaya operasi kita ditambah baik bagi meyakinkan semula orang ramai. Kita berdepan banyak situasi sukar, terutama dari segi gangguan perkhidmatan yang berlaku kerana sistem tidak berfungsi dengan baik,” kata Azharuddin.
Walaupun berdepan kesukaran itu, Prasarana terus mengejar matlamat untuk menyumbang kepada visi menyeluruh kerajaan bagi mencapai sasaran nisbah peratusan penggunaan (modal share) pengangkutan awam sebanyak 40% menjelang tahun 2030, serta memberi tumpuan kepada kebolehpercayaan dan penambahbaikan perkhidmatan.
“Keutamaan kami untuk beberapa tahun lalu adalah meningkatkan kualiti perkhidmatan tren kami. Setakat ini, kita lihat ada penambahbaikan yang ketara manakala gangguan perkhidmatan turut berkurangan.
“2022 adalah tahun yang mencabar, dengan adanya lebih 200 gangguan perkhidmatan, di mana puratanya adalah sekitar 50 bagi setiap laluan. Bagaimanapun, kita telah berjaya mengurangkan angka itu kepada 20-30 pada 2023, dan matlamat tahun ini adalah mengurangkannya lagi kepada tidak lebih 15-20 gangguan,” katanya.

Prasarana juga menangani kesesakan lorong bas dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis untuk menguatkuasakan lorong bas. Hasilnya agak memberangsangkan.
“Kita tidak pernah mempunyai lorong bas yang efektif. Tahun lalu kami bekerjasama dengan DBKL untuk melaksanakan percubaan lorong bas di Jalan Ampang.
“Kami juga melaksanakan satu lorong di Jalan Genting Klang dan ia sangat berjaya. Jumlah penumpang meningkat 20% dan masa perjalanan telah berkurang 10-15 minit,” katanya.
Namun, bukti paling nyata kejayaan Prasarana adalah jumlah penumpangnya.
“Jumlah penumpang kini mencapai tahap sebelum pandemik iaitu 1.2 juta sehari, dan kami menjangkakan ia akan terus meningkat pada tahun depan.”
Melangkah ke hadapan
Selepas ini, Rapid KL akan menguruskan satu lagi projek besar iaitu Laluan Shah Alam yang menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia di Klang, membabitkan laluan sepanjang 37km dengan 25 stesen.
Sebanyak 20 stesen pertama dijangka beroperasi pada suku ketiga 2025.
Laluan itu dijangka memanfaatkan jutaan penduduk Shah Alam dan Klang kerana menghubungkan Laluan Kelana Jaya di Stesen Glenmarie dan Laluan Kajang di Stesen Bandar Utama.
Rapid KL juga sedang menaik taraf kepada sistem pembayaran terbuka, membolehkan penumpang menggunakan kad kredit atau debit serta peranti pintar untuk pengalaman perjalanan yang lebih lancar, seperti digunakan dalam sistem-sistem metro utama di seluruh dunia.
Selain membina lebih banyak laluan dan laluan bertutup dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan, Prasarana juga meningkatkan infrastrukturnya termasuk hentian bas.
Prasarana juga melancarkan inisiatif seperti perkhidmatan berkonsepkan atas permintaan atau Demand-Responsive Transit (DRT) pada Mei 2023 untuk memenuhi keperluan pelanggan individu.
“Daripada hanya membeli bas, kami memikirkan bagaimana untuk memudahkan pelanggan merancang perjalanan mereka. Kami telah mengujinya tahun lalu dengan tiga van, dan maklum balas diterima adalah sangat positif.
“Kami mengambil keputusan untuk membeli 150 unit pada tahun ini, dan Kementerian Kewangan bersetuju ia penyelesaian tepat dan telah menyediakan pembiayaan untuk 300 unit van secara keseluruhan. Van ini akan berfungsi sebagai penghubung pertama dan terakhir perbatuan dari kawasan perumahan ke titik transit dan sebaliknya,” katanya.
Prasarana menjangkakan peningkatan jumlah penumpang perkhidmatan rel dan basnya, dengan sasaran 1.4 juta sehari menjelang akhir tahun 2025 menerusi pelbagai inisiatifnya.
Langkah itu adalah seperti meningkatkan tahap perkhidmatan rangkaian rel, pengenalan bas diesel dan kenderaan elektrik (EV) baharu, pengembangan perkhidmatan Rapid DRT yang semakin popular serta permulaan operasi Laluan LRT Shah Alam.
Azharuddin menyifatkan usaha Rapid KL dalam membawa perubahan ketara menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya terkenal di peringkat global sebagai ‘pengalaman yang sangat memuaskan’.
“Prasarana dan Rapid KL telah mencapai pelbagai kejayaan dalam tempoh 20 tahun lalu. Kita sentiasa berusaha ke arah meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam untuk rakyat Malaysia.
“Semua ini tidak mungkin berlaku tanpa penggerak utama dalam pengangkutan awam – 13,000 kakitangan Prasarana dan Rapid KL yang bekerja tanpa mengenal penat-lelah di belakang tabir,” katanya.