Lim pemimpin tunggal Bumiputera bukan Islam menang MPT Bersatu

Lim pemimpin tunggal Bumiputera bukan Islam menang MPT Bersatu

Lim Ting Khai yang berbangsa Sino Kadazan berkata kemenangannya itu membuktikan Bersatu bukan hanya untuk Melayu.

Lim Ting Khai menghargai sokongan daripada perwakilan Bersatu yang memilihnya sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
PETALING JAYA:
Pemimpin Bumiputera bukan Islam tunggal Bersatu yang menang jawatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) menghargai sokongan perwakilan, sekali gus membuktikan perjuangan parti itu bukan hanya untuk Melayu.

Ketua Bersatu Tawau Lim Ting Khai berkata perwakilan dari Semenanjung menunjukkan keterbukaan dengan memilih dan memberi tanggungjawab besar kepada pemimpin dari Sabah sepertinya untuk berkhidmat kepada parti.

“Lagi-lagi saya yang ada nama Cina… sebenarnya saya orang Sino Kadazan, di Sabah berbeza sedikit dengan Semenanjung kerana ramai nama Cina tetapi Bumiputera.

“Terima kasih kepada perwakilan di Semenanjung yang mengundi tidak mengira kaum, ia menunjukkan Bersatu terbuka kepada semua,” kata Bendahari Besatu Sabah itu kepada FMT.

Menurutnya, beliau berazam menarik minat masyarakat bukan Melayu bersama dalam perjuangan Bersatu kerana perjuangannya yang meliputi pelbagai aspek.

“Mereka harus diberi perhatian luas dengan menumpukan kepada dasar inklusif menangani isu memberi kesan kepada semua rakyat Malaysia termasuk kestabilan ekonomi, pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Beliau turut berkongsi menawarkan diri bertanding dalam kepimpinan tertinggi parti selepas mendapat nasihat Setiausaha Agung Hamzah Zainudin dan seorang lagi pemimpin Bersatu dari Sabah, Ronald Kiandee.

Berdasarkan pengumuman Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) petang tadi, Lim berada pada kedudukan ke-18 daripada 20 calon layak menduduki kerusi MPT bagi penggal 2024-2027.

Dua lagi pemimpin dari Sabah yang berjaya menempatkan kerusi terbabit adalah Yunus Nurdin (Libaran) serta Muhammad Affan Jumahat (Kudat).

Ronald Kiandee yang juga berasal dari Sabah turut mengekalkan jawatan sebagai naib presiden Bersatu.

Lim menyertai Bersatu pada Disember 2022 dan sebelum itu menganggotai Parti Liberal Demokratik (LDP).

Beliau juga bertanding pada PRU14 di DUN Merotai dan dua tahun kemudiannya di DUN Sri Tanjong pada PRN Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.