
Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa, berkata pihaknya telah mengenal pasti individu itu dan keterangan akan diambil dalam masa terdekat, memandangkan suspek sedang mendapatkan rawatan kesihatan mental di sebuah hospital.
“Pada 4 Nov, terkesan satu rakaman video yang tular berdurasi satu minit empat saat yang telah dimuat naik oleh pemilik akaun Tan Chong Ren@Tan Speaker Corner melalui aplikasi Facebook.
“Rakaman video tersebut memapar seorang lelaki yang berada di dalam sebuah kenderaan telah mengeluarkan kata-kata negatif dan penghinaan terhadap agama Islam,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Mengulas lanjut, Rusdi berkata pihaknya memandang serius isu tersebut dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang bertindak menjejaskan ketenteraman awam serta keselamatan negara.
“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak terus menularkan video berkenaan kerana bimbang akan menimbulkan kegusaran di kalangan masyarakat,” katanya.
Berdasarkan video dimuat naik juga, individu tersebut turut menyebut bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.