
Ketua Menteri Hajiji Noor, berkata bantuan sekali bayar itu, merupakan permintaan pelajar IPT terlibat, justeru kerajaan negeri yang sentiasa mendengar keluhan rakyat akan menunaikan hasrat itu.
Sebagai contoh, beliau berkata pelajar berasal dari Tawau dan Sandakan yang sedang belajar di IPT di Kota Kinabalu, akan menerima bantuan subsidi tersebut sama ada mereka mahu menggunakannya untuk membeli tiket kapal terbang, bas, atau pengangkutan lain.
“Pelbagai inisiatif dan bantuan diberikan kepada rakyat khususnya pelajar, adalah untuk melahirkan modal insan berpengetahuan dan berilmu, yang akan membantu membangunkan negeri ini,” katanya berucap merasmikan Konvensyen Mahasiswa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Sembulan.
Beliau yang juga pengerusi GRS, berkata maklumat terperinci mengenai bantuan subsidi itu termasuk jumlah penerima bantuan sedang diteliti pihak berkaitan.
Hajiji berkata, pada Ramadan lalu, bantuan subsidi sekali bayar RM600 telah diberikan kepada pelajar Sabah yang belajar di IPT awam dan swasta di Semenanjung, Sarawak, dan Labuan, untuk mereka pulang ke kampung halaman masing-masing pada musim perayaan atau cuti semester.
“Inisiatif ini dinamakan Graduan Rindu Sabah bagi membantu pelajar kita di sana,” katanya.