Kartel baja: 2 bekas pengurus besar pertubuhan badan awam direman

Kartel baja: 2 bekas pengurus besar pertubuhan badan awam direman

Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50 hingga 60an yang ditahan SPRM semalam direman hingga 5 dan 6 Nov.

SPRM sebelum ini membongkar kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan bawah kawalan kementerian. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lagi individu berhubung siasatan salah guna kuasa membabitkan kartel perolehan baja bernilai kira-kira RM60 juta, menurut sumber.

Kedua-dua individu tersebut, yang juga bekas pengurus besar sebuah pertubuhan badan awam berusia dalam lingkungan 50 hingga 60 tahun, masing-masing direman tiga dan empat hari, bagi membantu siasatan.

“Kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan terhadap kartel perolehan baja membabitkan sebuah pertubuhan badan awam yang dipercayai mempunyai unsur rasuah dan salah guna kuasa,” menurut sumber.

“Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya Syahrul Sazly Md Sani membenarkan kedua-dua suspek lelaki direman selama tiga dan empat hari iaitu sehingga 5 serta 6 Nov selepas permohonan dibuat SPRM pagi tadi.”

Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM kira-kira 8.30 malam semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya yang mengesahkan tangkapan tersebut berkata, kedua-dua suspek disiasat bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, seramai tiga individu ditahan termasuk seorang eksekutif pemasaran syarikat yang direman hingga semalam.

SPRM sebelum ini membongkar kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan bawah kawalan kementerian.

Dilaporkan beberapa siri pembongkaran dilakukan SPRM dalam tempoh dua hari di sekitar Kuala Lumpur termasuk ibu pejabat pertubuhan, kementerian dan sembilan syarikat yang mendapat projek berkaitan.

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.8 bilion untuk perolehan baja pertanian negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.