
Timbalan Ketua Bersatu Pahang Mohd Yazid Mohd Yunus berkata, beliau hanya mengetahui tindakan Roslan melepaskan jawatannya dan keluar parti menerusi laporan media.
“Kami akan menghubungi Roslan untuk penjelasan lanjut susulan keputusan itu,” kata Adun Lepar itu kepada FMT.
“Memandangkan parti sibuk dengan pemilihan ketika ini, kita akan dapatkan penjelasan daripada beliau selepas (pemilihan) ini.”
Semalam, Roslan bersama 40 ahli mengumumkan keluar daripada Bersatu dengan alasan hilang keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi, sehari sebelum pemilihan parti.
Bendahari Bersatu dan PN negeri itu juga mendakwa terdapat tindakan menyisihkan anggota yang tidak sehaluan dengan pimpinan tertinggi parti.
Roslan yang juga bekas ketua Bersatu Bentong berkata, terdapat cubaan untuk mengangkat anggota yang sehaluan dengan kepimpinan tertinggi walaupun gagal memenuhi tanggungjawab kepada parti.
Ketika dihubungi FMT, Roslan memaklumkan beliau kekal dengan keputusannya dan tidak bercadang menyertai mana-mana parti buat masa ini.
Sementara itu, Setiausaha Bersatu Pahang Mohd Arhan Saludin berkata, tindakan Roslan tidak akan merencatkan parti itu pada peringkat negeri.
“Kita telah tempuh pelbagai cabaran, naib presiden, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), ketua negeri sebelum ini ada yang keluar parti, tetapi Bersatu tetap berjalan macam biasa,” katanya.
“Bersatu sentiasa dalam proses memperkuat, baiki kelemahan, kalau ada masalah kita bincang dan selesaikan. Walaupun ada keluar parti, ia bukan bermakna Bersatu makin lumpuh, itu proses mematangkan parti.”