Bekas ketua, setiausaha DAP Sabah keluar parti

Bekas ketua, setiausaha DAP Sabah keluar parti

Frankie Poon and Liau Fui Fui dakwa ahli veteran dipinggirkan dalam parti.

Frankie Poon pernah menyandang jawatan ketua DAP Sabah, manakala Liau Fui Fui dahulunya setiausaha penganjur parti itu.
PETALING JAYA:
Bekas ketua DAP Sabah Frankie Poon dan bekas setiausaha Liau Fui Fui mengumumkan keluar parti susulan rasa tidak puas hati terhadap kepemimpinan semasa cawangan parti negeri itu.

Mereka mendakwa, DAP Sabah yang kini dikemudi oleh Phoong Jin Zhe lebih mengutamakan ahli muda dan mengetepikan golongan veteran walaupun mereka banyak menyumbang kepada pertumbuhan parti di negeri itu selama ini.

Menurut laporan Daily Express, mereka turut mendakwa wujud usaha menggantikan pemimpin DAP sedia ada di Tanjong Papat tanpa rundingan dengan golongan veteran, berdasarkan ‘pemerhatian dan muhasabah’ selama berbulan-bulan mengenai perkembangan dalam parti.

Poon dan Liau berkata, mereka keberatan untuk meninggalkan DAP namun terpaksa mengambil keputusan itu kerana nilai kejujuran dan saling hormat-menghormati didakwa tidak lagi diamalkan dalam kepimpinan parti negeri.

Mereka turut mendakwa ahli daripada dua cawangan DAP akan turut serta meninggalkan parti itu.

Poon, sebelum ini Adun Tanjong Papat dua penggal, juga pernah berkhidmat sebagai menteri negeri dari 2018 hingga 2020.

Beliau kini menyandang jawatan pengerusi Sabah Development Bank Bhd.

Liau pernah memegang jawatan setiausaha penganjur DAP Sabah dan bertanding di kerusi Parlimen Batu Sapi mewakili Pakatan Harapan (PH) pada PRU15, namun tewas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.