
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer), S Piarapakaran, berkata kerajaan boleh mencontohi Singapura dengan menetapkan Keberkesanan Penggunaan Tenaga (PUE) pada tahap lebih ketat, iaitu 1.3 berbanding 1.6 pada masa ini, bagi menangani penggunaan tenaga yang tinggi oleh pusat-pusat data.
Bagaimanapun katanya, ia boleh dilakukan secara progresif selepas perundingan dilakukan dengan pusat-pusat data.
“Misalnya kita tetapkan PUE kepada 1.3 menjelang Dis 2026. Ini akan memberi tempoh mencukupi bagi pusat data sedia ada untuk melabur kembali. Manakala bagi pusat data yang baharu, kita wajibkan terus waktu pembinaan.
“Bagi pendekatan sukarela di mana pusat data melabur untuk meningkatkan lagi prestasi alam sekitar mereka, kita guna kayu ukur yang ditetapkan untuk memberi pelepasan cukai. Dengan ini, situasi menang-menang dapat dicapai untuk semua pihak,” katanya kepada FMT.
Tambahnya, ia bukan sahaja dapat membantu meningkatkan kecekapan tenaga pusat data, malah juga mampu menangani risiko keterputus-putusan (intermittency) yang sebelum ini ‘menghalang’ percubaan untuk menggunakan tenaga boleh baharu (TBB) dalam operasi pusat data.
“Pusat data beroperasi 24 jam setiap hari tanpa berhenti dan ia akan meningkatkan beban asas tenaga elektrik. Manakala TBB bukan bekalan beban asas yang boleh dipercayai melainkan pelaburan besar dilakukan bagi menambah baik kemudahan penyimpanan tenaga.
“Pada masa ini, loji janakuasa bahan api fosil berada dalam keadaan bersiap sedia untuk loji janakuasa TBB beroperasi di Malaysia. Maka ini menjadikan operasi TBB semasa tidak benar-benar bebas bahan api fosil,” katanya.
Sementara itu, aktivis alam sekitar yang juga Presiden EcoKnights, Amlir Ayat, berkata sebarang pembinaan pusat data wajar dirancang dengan teliti dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk penggunaan tenaga dan air yang optimal.
“Dengan penggunaan tenaga yang mungkin mencecah hampir 10GW, salah satu tumpuannya ialah meminimumkan kadar pembebasan karbon. Misalnya menerusi penggunaan TBB baik dalam operasi mahupun pembinaannya,” katanya.
Beliau berkata, bahan-bahan dan proses pembinaan pusat data juga harus semesra alam yang mungkin bagi membantu usaha menangani krisis perubahan iklim.
“Sebagai sebuah entiti yang dianggap canggih dan inovatif, wajar juga pusat data tersebut menjadi model peranan tercanggih juga dari sudut kemampanan,” katanya.
Rabu lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) Tengku Zafrul Aziz berkata pihaknya sedang dalam proses memuktamadkan garis panduan pembangunan mampan bagi pusat data.
Katanya, ini antara lainnya merangkumi metrik Keberkesanan Penggunaan Tenaga (PUE) dan Keberkesanan Penggunaan Air (WUE) bagi mengukur kecekapan penggunaan tenaga dan air.
Beliau berkata, kerajaan turut menggalakkan pelaksanaan dasar teknologi hijau dan penggunaan TBB dalam operasi pusat data bagi mencapai sasaran 70% TBB menjelang 2050 yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.