MRL, Perhilitan uji prototaip pagar halang gajah di ECRL

MRL, Perhilitan uji prototaip pagar halang gajah di ECRL

Malaysia Rail Link Sdn Bhd memaklumkan video tular menunjukkan dua gajah sedang menolak struktur pagar dipasang di jajaran ECRL adalah sebahagian daripada proses terbabit.

MRL, pagar antigajah di ECRL
MRL dan Perhilitan melaksanakan ujian ketahanan prototaip pagar halangan fizikal gajah pada 23 Okt lalu. (Gambar MRL)
PETALING JAYA:
Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) melaksanakan ujian ketahanan prototaip pagar halangan fizikal gajah di Temerloh pada 23 Okt lalu.

Dalam kenyataan, MRL memaklumkan video tular menunjukkan dua gajah sedang menolak struktur pagar dipasang di jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah sebahagian daripada proses terbabit.

“Kami ingin memaklumkan bahawa video yang tular tersebut adalah sebahagian daripada proses ujian ketahanan bagi reka bentuk pagar haiwan liar yang telah dijalankan di kawasan yang dikenal pasti sebagai habitat gajah di Temerloh, Pahang.

“Setelah beberapa sesi perbincangan bersama Perhilitan, pagar halangan fizikal gajah perlu dibina di kedua-dua belah landasan ECRL sepanjang Hutan Simpan Kemasul.

“Ia bagi mengelak konflik manusia-gajah di kawasan tersebut terutamanya semasa dan selepas projek ini disiapkan,” katanya menurut Sinar Harian.

MRL juga menjelaskan ia adalah salah satu kawalan mitigasi bagi menghalang kemasukan gajah ke kawasan landasan kereta api ECRL yang boleh menyebabkan kemalangan.

“Justeru, Perhilitan telah mengesyorkan agar ‘mock-up’ reka bentuk pagar halangan fizikal dibina di lokasi sebenar bagi menguji ketahanan dan keberkesanan pagar sebelum sebarang keputusan reka bentuk dimuktamadkan.

“Lanjutan daripada itu, perbincangan susulan atau post-mortem antara pihak ECRL dan Perhilitan akan dibuat dalam masa terdekat untuk tindakan seterusnya,” jelasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.