
Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi memperoleh perintah reman ke atas dua individu terbabit, salah seorangnya pengerusi syarikat berwarga negara asing yang ditawarkan projek pembelian baja padi oleh sebuah pertubuhan pertanian.
Sumber menyebut dua individu itu sebagai suspek. Mereka, yang merupakan lelaki berusia kira-kira 40-an hingga 50-an, ditahan ketika memberi keterangan kepada SPRM lewat petang semalam dan direman sehingga 4 Nov, katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek utama yang merupakan pengurus bagi Bahagian Promosi dan Pemasaran pertubuhan tersebut telah menerima sebut harga daripada wakil syarikat yang terlibat, untuk mendapatkan kelulusan daripada pengerusi pertubuhan.
Katanya lagi, pengerusi pertubuhan telah memberi kelulusan untuk melantik syarikat asing itu tanpa perbandingan harga atau pun melalui lembaga pengarah.
“Kontrak pembekalan baja bernilai kira-kira RM60 juta secara runding terus telah dibuat dalam tempoh masa enam hari sahaja pada sekitar Jun 2022 sedangkan syarikat asing itu tidak pernah mendapat apa-apa kerja daripada pertubuhan tersebut sebelum ini,” jelas sumber.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut. Kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(a) Akta SPRM.
Sehingga hari ini seramai tiga individu ditahan termasuk seorang eksekutif pemasaran syarikat yang direman semalam sehingga 2 Nov.
Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.8 bilion untuk perolehan baja pertanian negara.
Kelmarin, SPRM membongkar kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan bawah kawalan kementerian.
Sumber berkata, beberapa siri pembongkaran dilakukan SPRM dalam tempoh dua hari di sekitar Kuala Lumpur termasuk ibu pejabat pertubuhan, kementerian dan sembilan syarikat yang mendapat projek berkaitan.
Katanya, siasatan akan menjurus kepada kesalahan rasuah dalam perolehan baja atau bahan mentah daripada syarikat terpilih.
Selain itu siasatan juga menjurus kepada salah guna kuasa yang mungkin berlaku di mana ahli lembaga pengarah terlibat dalam membuat keputusan dalam pemilihan syarikat berkepentingan.