
Bernama melaporkan kerajaan Perlis beri kebenaran kepada peguam, Zainul Rijal Abu Bakar, untuk memulakan permohonan semakan bagi pihak mereka.
Zainul mengesahkan kepada Bernama bahawa permohonan difailkan semalam mengikut Peraturan 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan.
Sementara itu, peguam Loh, Shamsher Singh Thind, memaklumkan kepada Bernama bahawa mahkamah menetapkan 29 Nov untuk pengurusan kes bagi permohonan itu.
Dalam notis permohonan yang diperoleh agensi berita itu, kerajaan negeri memohon mahkamah mengetepikan keputusan sebelum ini, yang menolak kebenaran merayu permohonan yang difailkan oleh kerajaan negeri dan tiga pihak lain.
Permohonan itu ditolak pada 14 Mei lepas, menghalang pemohon termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), pendaftar mualaf negeri Perlis, dan Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin daripada meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan pada 10 Jan.
Mahkamah Rayuan membatalkan penukaran agama tiga anak Loh kepada Islam dan mengisytiharkan mereka beragama Hindu.
Dalam permohonan semakan itu, kerajaan negeri menyatakan bahawa keputusan panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini menjejaskan hak mereka untuk didengar, dan mereka sedang memohon pendengaran semula permohonan kebenaran merayu.
Pada 2023, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman Loh untuk mencabar penukaran agama tiga anaknya kepada Islam.
Loh, 37, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 25 Mac 2022, memohon pengisytiharan bahawa tiga anaknya beragama Hindu, dan bekas suaminya iaitu M Nagahswara tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk membenarkan pendaftar mualaf negeri Perlis mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa kebenarannya.
Tiga kanak-kanak itu yang diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan kepada Loh pada 21 Feb 2022 selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpusnya.