Polis tahan 2 lelaki, rampas syabu hampir RM11 juta

Polis tahan 2 lelaki, rampas syabu hampir RM11 juta

Suspek berusia 30 dan 34 tahun ditahan di Bandar Baru Sri Petaling dan Jalan Puchong Jaya Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Khaw Kok Chin menunjukkan dadah yang dirampas dalam sidang media di IPD Subang Jaya. (Gambar Bernama)
SUBANG JAYA:
Polis menahan dua lelaki dan merampas dadah disyaki syabu bernilai hampir RM11 juta dalam serbuan di sebuah rumah teres di Bandar Bukit Puchong 25 Okt lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Khaw Kok Chin, berkata kedua-dua suspek berusia 30 dan 34 tahun itu masing-masing ditahan di tepi jalan di Bandar Baru Sri Petaling dan Jalan Puchong Jaya pada 10.30 malam dan 11.30 malam, Jumaat lalu.

Susulan tangkapan itu, beliau berkata polis menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Bukit Puchong dan berjaya menemukan 319 bungkusan teh herba berisi dadah disyaki syabu seberat 329.5kg dengan anggaran nilai RM10.9 juta yang disembunyikan di sebuah bilik di tingkat bawah rumah itu.

“Siasatan mendapati kedua-dua suspek dipercayai aktif melakukan jenayah itu sejak awal tahun ini dan menjadikan rumah teres berkenaan sebagai stor simpanan bekalan dadah dengan sewa RM1,800 sebulan sejak awal September lepas,” katanya dalam sidang media di IPD Subang Jaya.

Turut hadir Ketua Polis Subang Jaya Wan Azlan Wan Mamat.

Khaw berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki itu, yang masing-masing mempunyai tiga dan satu rekod jenayah lampau menerima upah RM5,000 dan RM7,000 sebulan bagi menyimpan dan mengedar dadah itu.

Beliau berkata, dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan seramai 1.6 juta penagih dan polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan rangkaian pengedaran dadah berkenaan.

“Susulan penahanan itu, polis turut menyita kereta jenis Proton Saga dan Hyundai Sonata serta barang kemas dianggarkan bernilai RM70,270, menjadikan keseluruhan rampasan berjumlah RM11 juta,” katanya.

Beliau berkata, suspek kini direman tujuh hari hingga 1 Nov ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.