Pneumonia sebab kematian utama di Malaysia pada 2023

Pneumonia sebab kematian utama di Malaysia pada 2023

Sebanyak 18,181 kematian direkodkan berpunca daripada pneumonia pada 2023, mewakili 15.2% daripada jumlah kematian keseluruhan.

coughing
Tiga punca kematian utama di Malaysia pada 2023 dikenal pasti sebagai pneumonia, penyakit jantung iskemik dan penyakit serebrovaskular.
(Gambar Freepik)
PUTRAJAYA:
Pneumonia menjadi sebab kematian utama di Malaysia pada 2023 dengan 18,181 kematian direkodkan, kata Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata, berdasarkan laporan Perangkaan Sebab Kematian Malaysia 2024, angka tersebut mewakili 15.2% daripada sejumlah 119,952 kematian yang disahkan secara perubatan.

“Pneumonia mengatasi penyakit jantung iskemik sebagai sebab kematian utama buat kali pertama dalam dua dekad, kecuali pada 2021 berikutan wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Uzir berkata, peningkatan kematian disebabkan pneumonia disumbangkan oleh kesan pascapandemik apabila jangkitan paru-paru dalam komuniti menyebabkan pneumonia, terutama bagi individu mempunyai sistem imun yang lemah dan masalah kesihatan sedia ada.

“Sementara itu, penyakit jantung iskemik yang merupakan sebab kematian kedua tertinggi di Malaysia pada 2023 adalah berpunca daripada amalan gaya hidup dan pengambilan pemakanan yang tidak sihat,” katanya.

Mengulas mengenai perkara itu, Mohd Uzir berkata, pada tahun lepas, sebanyak 12,648 kematian atau 17.6% dalam kalangan lelaki disebabkan penyakit jantung iskemik manakala punca kematian utama bagi perempuan ialah pneumonia, iaitu 7,815 kematian atau 16.4%.

Beliau berkata, kematian akibat pneumonia lebih banyak direkodkan dalam kalangan etnik Cina dan Bumiputera lain, masing-masing merekodkan 4,887 kematian (16.4%) dan 1,255 kematian (12.2%) pada 2023.

“Etnik Melayu dan India masing-masing merekodkan penyakit jantung iskemik sebagai sebab kematian utama, iaitu (masing-masing) 16% dan 20.6%.

“Sebab kematian utama bagi penduduk berumur 60 tahun dan lebih adalah pneumonia yang merekodkan 14,377 kematian atau 19.3%, manakala penduduk berumur 41-59 tahun merekodkan penyakit jantung iskemik pada 19.8% (5,673 kematian),” tambahnya.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, enam negeri iaitu Pahang, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Labuan merekodkan pneumonia sebagai sebab kematian utama manakala 10 negeri lain merekodkan penyakit jantung iskemik sebagai sebab kematian utama.

Perlis merekodkan peratusan tertinggi bagi pneumonia iaitu 18.6%, diikuti oleh Pulau Pinang (17.8%) dan Sabah (14.2%).

Laporan tersebut turut membentangkan sebab kematian utama pada peringkat daerah pentadbiran, dengan pneumonia dikenal pasti sebagai sebab kematian utama di 78 daerah pentadbiran. Peratusan tertinggi direkodkan di daerah Kubang Pasu, Kedah dengan 26.3%.

“Sementara itu, penyakit jantung iskemik merupakan sebab kematian utama di 65 daerah pentadbiran dengan peratusan tertinggi dicatatkan di Langkawi, Kedah (31.3%),” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, penyakit serebrovaskular direkodkan sebagai sebab utama kematian ketiga tertinggi pada 2023 iaitu 7.2%, diikuti dengan kemalangan kenderaan dengan 3.5%.

Statistik turut menunjukkan bahawa kematian disebabkan oleh kanser meningkat sejak 2001 daripada 5,231 kematian kepada 16,545 kematian pada 2023.

“Kanser melibatkan organ pencernaan merekodkan kematian tertinggi berbanding kanser lain, iaitu 5,054 kematian, diikuti oleh kanser organ respiratori dan ‘intrathoracic’ (ruang dada) (2,530 kematian) dan kanser payudara (1,681 kematian),” kata Mohd Uzir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.