Cukai dividen 2% ambil kira rayuan PMKS, jelas Anwar

Cukai dividen 2% ambil kira rayuan PMKS, jelas Anwar

Anwar Ibrahim berkata cukai dividen itu pada awalnya ditetapkan 5% namun diturunkan selepas ambil kira rayuan.

bursa market in green
Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersikap terbuka untuk menerima cadangan mengenai pelaksanaan cukai dividen. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Cukai dividen yang awalnya ditetapkan pada kadar 5% telah diturunkan kepada 2% selepas mengambil kira rayuan dikemukakan termasuk daripada kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata pihak PMKS mengemukakan rayuan supaya dikecualikan daripada cukai dividen itu atas alasan PMKS berbeza dengan syarikat tersenarai.

Beliau berkata dirinya bersikap terbuka untuk menerima cadangan mengenai pelaksanaan cukai dividen itu seperti yang diumumkan menerusi pembentangan Belanjawan 2025, namun bukan cadangan untuk pengecualian.

“Kalau ada cadangan, bagi cadangan lain, tapi jangan cadangan tidak boleh (dikenakan) cukai (terhadap) orang kaya. Saya rasa satu perkara yang sangat aneh dan bertentangan dengan prinsip yang kita nak tegakkan (iaitu) pengagihan kekayaan secara adil,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai mekanisme yang akan digunakan berkaitan pelaksanaan cukai dividen 2% ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 bagi pemegang saham individu.

Mengulas lanjut, Anwar berkata pelaksanaan cukai dividen ke atas pemegang saham individu akan melibatkan saham dalam syarikat tersenarai atau tidak tersenarai, dengan pertimbangan mengenakan bayaran kepada orang yang berkemampuan dan langkah itu tidak membebankan mereka.

Beliau berkata dengan cara sedemikian, negara mempunyai sistem percukaian yang progresif.

“Kalau dia ada RM2 juta (nilai) saham dengan dividen RM100,000, bayarlah, kalau RM100,000 (dividen) sekitar RM700, RM800 sahaja (cukai), takkan tak boleh bayar.

“Itu saham sahaja, mustahil orang itu ada keupayaan hanya beli saham, sebab itu dalam pertimbangan kita dalam menetapkan keputusan ini adalah supaya mengenakan sedikit bayaran kepada orang yang ada keupayaan,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.